• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Doktor Pakar Ditempatkan Di Klinik Kesihatan Marang



Oleh: Aslam Wira
Foto: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 19 Jun – Seramai 13 orang doktor dan seorang pakar ditempatkan di Klinik Kesihatan Marang baharu bagi memastikan tahap perkhidmatan kesihatan terbaik dapat ditawarkan kepada orang ramai.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, Klinik Kesihatan Marang setinggi dua tingkat yang mula operasi 16 Jun itu turut dilengkapi kemudahan klinik pesakit luar, klinik ibu dan kanak-kanak, klinik pergigian, perkhidmatan kesihatan untuk sekolah bantuan kerajaan, perkhidmatan kawalan vektor dan klinik kecemasan di samping menempatkan kuarters dua tingkat.

Katanya, ia direka bentuk bagi memberi kemudahan dan keselesaan termasuk menyediakan lif dengan keupayàan menampung sehingga 300 pesakit dalam sehari.

“Saya mengalu-alukan pesakit dan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan di klinik kesihatan ini bagi memastikan penjagaan kesihatan yang baik dapat kita teruskan pada masa-masa akan datang.

“Unit pergigian turut dinaiktaraf dengan penambahan peralatan dan mungkin akan dimasukkan khidmat seorang pakar pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Klinik Kesihatan Marang dan Majlis Sambutan Aidilfitri KESUKSES Cawangan Marang di perkarangan Klinik Kesihatan Marang, baru-baru ini.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Katanya, klinik kesihatan tersebut dibina pada 2016 dan siap pada April 2019 dengan kos lebih RM17 juta, ianya dinaik taraf daripada klinik kesihatan lama yang telah menawarkan 60 tahun perkhidmatan.

“Di klinik kesihatan baru ini, kita juga menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur yang lebih baik seperti x-ray di mana klinik lama sebelum ini tidak mempunyai perkhidmatan tersebut,” ujarnya.

Tag: