• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

Dr Khairuddin Bantu Pesakit Kronik Jadi Usahawan Maya


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 25 April - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan mengeluarkan modal bagi membantu seorang pesakit kronik Shamsul Annuar Omar, 58, berniaga keropok secara dalam talian.

Dr Mohd Khairuddin berhasrat membantu pesakit tersebut selepas menemuinya dalam Program Ziarah Mahabbah di Kampung Pulau Ketam, di sini baru-baru ini, selepas melihat sendiri ketidakupayaan menjalani kehidupan seperti biasa akibat penyakit tulang belakang sejak tiga tahun lalu.

Pelbagai rawatan telah dibuat termasuk rawatan moden dan tradisional namun keadaannya masih tidak pulih seperti biasa.

Shamsul Annuar terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan, tidak mampu berdiri sendiri seperti sebelumnya.

Beliau yang mempunyai 10 orang anak, telah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) RM400 sebulan bagi menampung kos sara hidup beliau sekeluarga sementara isterinya, Nor Hayatii Mahmud, 41, bekerja sebagai pembantu sebuah kedai kek di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Usaha yang dilaksanakan oleh Ahli Parlimen itu mendorong golongan orang kelainan upaya berdikari mencari pendapatan semampu mungkin dalam keadaan pergerakan yang terhad.


Tag: