• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

'Drawbridge' Bakal Dibuka Semula 1 Ogos Ini

Dr Mamad (tengah) menerangkan sesuatu ketika melawat 'drawbrigde' hari ini.
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Jambatan Angkat atau 'Drawbridge' yang menjadi mercu ikonik baharu di negeri Terengganu dijangka akan dibuka mulai 1 Ogos ini jika tidak ada aral melintang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, sebagai percubaan kerajaan negeri telah membuka jambatan itu untuk laluan orang ramai selama dua minggu bermula 2 hingga 16 Jun lalu.

Katanya, mercu tanda ikonik itu bakal diserahkan kepada kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Terengganu Incorporated Properties Sdn Bhd (TIP) selepas mendapat kelulusan akhir pada hujung bulan ini.

Katanya, kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk menambah baik kemudahan di jambatan tersebut termasuk cadangan meninggikan pagar kawasan rehat dan membina papan iklan untuk keselamatan dan rekaan.

"Ini termasuk penambahbaikan kawasan hakisan ombak dengan cadangan penahanan ombak yang akan diberi tender dalam masa yang segera kerana kita bimbang jajaran ataupun laluan ke drawbrigde akan terhakis di musim tengkujuh akhir tahun ini.

Permasalahan ini perlu segera ditangani dan kerajaan bercadang untuk mengangkat tender membina keperluan tersebut pada 1 Julai ini." tambah beliau.

Dr. Mamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata, ketika ini kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur sedang giat dijalankan termasuk membabitkan pagar, kawasan parkir, laluan basikal dan beberapa aspek lain.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di jambatan berkenaan hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.

Menurut beliau jambatan itu dijangka akan diserah kerajaan Terengganu melalui TIP.
Katanya, jambatan angkat itu dijangka akan mendapat Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan  pada 1 Julai ini.

"Dalam masa peralihan ini perbincangan telah dibuat dengan TIP dijangka drawbrigde kita ini akan mendapat kelulusan akhir pada 30 Jun ini.

"Bermakna 1 Julai ini akan siap CFC (Sijil Kelayakan Menduduki Bangunan) kemudian dibuka kepada orang awam mulai 1 Ogos depan.

Katanya, kerajaan negeri mengharapkan jambatan tersebut memberi keselesaan untuk ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Beliau berkata, kos operasi dan penyelenggaraan jambatan ikonik negeri itu dijangka menelan belanja kira-kira RM5 juta setahun.

Jambatan yang berharga RM248 juta sepanjang 638 meter dan ketinggian 12.5 meter dari aras laut itu membolehkan pengguna menjimatkan masa perjalanan tidak sampai 10 minit dari Seberang Takir, Kuala Nerus ke pusat bandar raya.

Katanya, memandangkan orang ramai teruja melihat keindahan drawbridge dan mahu berhenti seketika bagi mengambil gambar maka kerajaan mencadangkan disediakan kawasan parkir manakala bagi laluan basikal pula didapati agak rumit untuk disediakan atas faktor laluan yang terhad.

“Fasa kedua projek pembangunan ini membabitkan laluan dari bulatan Telok Ketapang ke LTSM dan ketika ini kerajaan negeri dalam proses perbincangan dengan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi pengambilalihan tanah dan rekaan,” katanya.

Tag: