• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Drawbridge Tawar Pakej Berbuka Puasa Di 'Puncak Awan'

KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Pengalaman unik menyaksikan keindahan senja pada ketinggian 106 meter sambil menikmati juadah berbuka puasa di lantai kaca di  tingkat 15, Kuala Terengganu Drawbridge sememangnya menakjubkan.

Pengurus Pemasaran TI Properties Sdn Bhd, Farhana Adila Muhamad Yunus berkata dengan bertemakan Singgah Selatan Di Timur bukan sahaja menawarkan sajian yang sangat menyelerakan, malahan pengalaman dan pemandangan yang terbaik dari atas menara jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara

“Hidangan istimewa di sini adalah Sup Kambing Rempah Asli Muar, Gulai Kawah Daging Tetel, Pengat Pisang D’Muara dan pelbagai pilihan mi dari Selatan Tanah Air.  Tidak lupa juga kepelbagaian hidangan menyelerakan dari negeri Terengganu turut disajikan. 

“Dari tingkap kaca di menara, tetamu boleh menyaksikan keindahan panorama indah Laut Cina Selatan dan Pulau Duyong sambil menikmati hidangan bersama keluarga dan rakan-rakan mereka,”ujarnya ketika ditemui di menara Drawbridge semalam.  

Tambah beliau, galeri menara selatan dan Elysium menara utara mampu memuatkan sehingga 240 pengunjung dalam satu masa manakala lantai kaca pula dari lapan hingga sepuluh orang.

Menurut Farhana lagi, pihaknya menawarkan sebanyak 100 jenis menu untuk dinikmati oleh para tetamu termasuk kemudahan seperti parkir valet, surau, ruangan parkir yang dilengkapi lif turut disediakan.

“Harga bagi orang dewasa adalah RM75.00, kanak-kanak RM45.00 dan warga emas RM60.00.  Yang menariknya, setiap pembelian bufet dewasa diberi satu keping tiket percuma masuk ke ruangan galeri pada kunjungan akan datang,”ujarnya.

Untuk tempahan, mereka yang berminat boleh mehubungi talian 016-843 4470 atau 09-622 2438.