• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Dua Gol Benam Sabah Cerahkan Misi Ke Asia

KUALA NERUS, 1 Oktober - Kemenangan 2-0 ke atas Sabah FC dalam aksi Liga Super malam ini mencerahkan peluang Terengganu Football Club (TFC) untuk layak ke saingan peringkat Asia. 

Pengendali TFC, Nafuzi Zain mempertaruh barisan terkuat bagi pasukannya apabila menurunkan Faisal Halim dan Azam Azmi Murad yang baru pulang mewakili skuad negara dalam kempen King’s Cup.

Gol pembukaan perlawanan disempurnakan melalui tandukan pemain pertahanan TFC, Pape Diakite yang menerima hantaran Petrus Shitembi melalui sepakan sudut pada minit ke-6. 
 

Skuad Penyu terus menjarakkan kedudukan pada minit ke-30 melalui rembatan kencang pemain pinjaman, Nik Sharif Haseefy yang menerima hantaran lintang daripada Faisal Halim.

Pasukan pelawat mengasak bagi mencari gol namun dikecewakan oleh disiplin pertahanan TFC yang dipamerkan sehingga tamat aksi separuh masa pertama. 
 

Separuh masa kedua bermula dengan seimbang dengan beberapa siri percubaan oleh kedua-dua pasukan namun tiada jaringan berjaya dihasilkan. 

Minit ke-54, ketua pasukan TFC, Tchetche Kipre hampir-hampir menambah duka Sabah FC apabila percubaannya dikeluarkan Dominic Tan sebelum bola melepasi garisan gol. 

Sabah FC terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Rizal Ghazali dilayangkan kad kuning kedua akibat menjatuhkan pemain gantian TFC, Hakimi Abdullah.  
 

Terengganu FC kini naik ke kedudukan ketiga liga dengan perbezaan gol dengan Negeri Sembilan FC apabila ditewaskan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim dengan 0-5.

Perlawanan malam ini menjadi aksi terakhir tuan rumah bermain di ‘venue’ sendiri sebelum menamatkan baki di tempat lawan. 

TFC perlu mengekalkan momentum kemenangan bagi layak secara merit ke Piala AFC dengan berada dalam ‘Top 3’ liga selain fokus pada Piala Malaysia nanti.


Tag: