• 18 Mei 2022 | 16 Syawal 1443

Dua Pelajar SMK Kuala Besut Bergelar Juara Dunia

FOTO IHSAN: SMK KUALA BESUT

 

KUALA TERENGGANU, 28 November- Menetap di perkampungan nelayan di Kuala Besut dan belajar di sekolah harian biasa bukan penghalang buat dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut bergelar juara dunia.

Dalam Pertandingan Pameran Pendidikan Sains dan Teknologi Nuklear secara maya anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dihoskan di Vienna, Austria, yang diumumkan petang semalam, Mohamad Zafran Zaidi dan Ainul Mardhiah Mohd Azmi, membuktikan anak Malaysia mampu menggegarkan dunia apabila merangkul gelaran juara pada pertandingan itu.

Lebih manis, kejayaan yang dilakar pelajar sekolah berkenaan bukan kali pertama, sebaliknya kali kedua selepas kejayaan membanggakan diraih pada 2018 menerusi tajuk berjudul '100 Thing About Nuclear Science and Life'.

Pada pertandingan yang bermula 19 hingga 25 November itu, dua pelajar Tingkatan Lima berusia 17 tahun itu mempertaruhkan tajuk 'Nuclear Technology in Mushroom Industry' pada pertandingan yang disertai pasukan seluruh dunia.

Ternyata tuah menjadi milik pasukan KuBest Innovation Team SMK Kuala Besut apabila berjaya menewaskan 10 peserta akhir terbaik dunia yang terpilih termasuk sebuah universiti di Filipina iaitu University of The East Caloocan.

Pengetua SMK Kuala Besut, Amran Ibrahim, berkata kejayaan pelajar itu adalah sesuatu yang luar biasa kerana mereka bukan berentap di peringkat Asia, tetapi seluruh dunia yang sudah pastinya memerlukan kekuatan fizikal dan mental walaupun diadakan secara maya.

"Projek yang dihasilkan pelajar berkenaan adalah untuk memberi kesedaran yang tinggi kepada masyarakat mengenai penggunaan teknologi nuklear dalam industri pemakanan.

"Ternyata kesungguhan dan kebolehan pelajar berkenaan yang disokong guru dan ibu bapa serta syarikat SR Mushroom Industry membuahkan hasil apabila diiktiraf di peringkat dunia. Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin bukan sahaja kepada pelajar sekolah ini, malah semua sekolah di negara ini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Mohamad Zafran berkata, komitmen berterusan dan fokus serta tekad untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat dunia mengenai betapa pentingnya kesedaran menggunakan teknologi nuklear dalam industri pemakanan mendorong dia menyertai pertandingan itu.

Anak pengawal keselamatan itu berkata, walaupun negara berada dalam tempoh Kawalan Perintah Pergerakan (PKP), bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19, sekali gus tidak dapat bersemuka dengan rakan dan guru, ia tidak menghalangnya untuk berbakti kepada masyarakat dunia termasuk Malaysia.

"Ini saya mahu buktikan, Alhamdulillah sokongan padu daripada semua pihak termasuk keluarga, guru, pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kerja sepasukan, kami berjaya bergelar juara dunia.

"Kejayaan ini bukan milik kami berdua tetapi semua pelajar, guru dan seluruh rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap penggunaan teknologi nuklear dalam industri pemakanan," katanya.

Bagi Ainul Mardhiah, dia berasa amat terkejut dan tidak menyangka bahawa videonya akan menang dan tersenarai dalam kedudukan tiga pasukan teratas peringkat dunia.

"Semuanya berlaku terlalu pantas dan saya tidak menyangka kerana bersaing dengan pasukan yang hebat dan jauh lebih fasih menggunakan bahasa Inggeris.

"Bagaimanapun, pasukan kami yang ditubuhkan di bawah projek Unit Inovasi yang diterajui Ketua Bidang Sains dan Matematik, Faizu Abd Rahman dengan dibantu Yusarimi Md Yusuf selaku guru penyelaras projek dan Rohaya Husin yang juga guru yang menjadi tonggak pasukan serta kerjasama penuh daripada Agensi Nuklear Malaysia adalah tonggak di sebalik kejayaan ini," katanya – BERITA HARIAN