• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Dua Sekolah Terengganu Menang Anugerah SLAAS


Dua buah sekolah di negeri ini telah memenangi tiga anugerah dalam Program Lestari Anugerah Alam Sekitar ( SLAAS) 2017.

Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuala Kemaman memenangi kategori utama iaitu Anugerah SLAAS manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin memenangi Anugerah Khas (Keusahawan).

“Lebih membanggakan apabila Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin iaitu Hajah Zah Mohamed telah menerima Anugerah Khas Kepimpinan,” ujarnya.

Shafruddin berkata, penyampaian anugerah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hasan dalam satu majlis yang diadakan di d'Tempat Country Club Sendayan, Negeri Sembilan, kelmarin.


Katanya, anugerah yang dimenangi itu sangat bererti buat semua yang terlibat samada di peringkat sekolah mahupun jabatan.

“Ianya adalah rezeki yang sangat bernilai selepas 10 tahun menanti kerana setiap tahun kita tidak pernah ketinggalan untuk menghantar penyertaan dan kali ini adalah tahun yang paling bermakna.

“Berkat doa, kesungguhan peserta dan kerjasama semua pihak Terengganu berjaya memperoleh kejayaan membanggakan dalam pertandingan berkenaan,” ujarnya.

Shafruddin turut mengharapkan, kemenangan tersebut menjadi pendorong kepada sekolah lain untuk turut mencapai kecemerlangan dalam pelbagai pertandingan.

Sekolah Lestari-Anugerah Alam Sekitar merupakan program usahasama Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sekolah Lestari bertujuan membentuk persekitaran sekolah yang menitikberatkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dari segi aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan.



Tag: