• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Dulu Arkitek, Kini Penulis Kaligrafi


KUALA TERENGGANU, 30 April - Tidak mahu mensia-siakan bakat dan kebolehan menulis kaligrafi membuatkan Wan Muhammad Sulaiman Wan Yusof, 26, nekad meninggalkan kerjaya sebagai arkitek syarikat terkemuka di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Tindakan nekad meninggalkan jawatan yang diidam-idamkan kebanyakan graduan itu dibuat kerana minat yang mendalam terhadap kesenian khat dan  kini mampu berbangga dengan kerjaya penulis kaligrafi.

Karyanya yang dipamerkan dalam pelbagai bentuk, termasuk bahan-bahan iklan, pelekat pada kenderaan, cenderamata perkahwinan, bahan perhiasan dinding dan sebagainya mendapat sambutan menggalakkan.

Pelanggan tetap Wan Muhammad Sulaiman bukan saja di semenanjung, malah hingga ke Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka menempah melalui laman instagram sulaimankaligrafi dan facebook Wan Muhammad Sulaiman.

Mengimbas minatnya dalam bidang seni itu, Wan Muhammad Sulaiman berkata, dia mempelajari seni khat ketika di Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) pada 2008.


“Saya mula aktif sebagai pelukis khat sambilan dan menerima tempahan khat pada tahun akhir ketika melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Minat saya terhadap seni khat itu terlalu dalam sehingga berterusan melukis khat dan akhirnya mengambil tempahan pelanggan sehingga menjadi sumber rezeki saya,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Telaga Mengkudu,  Marang, semalam.

Wan Muhammad Sulaiman berkata, antara karyanya yang mendapat sambutan adalah kaligrafi khat untuk dijadikan hadiah perkahwinan.

“Nama pengantin ditulis menggunakan kaligrafi Arab selain turut diletakkan gambar pasangan berkenaan,” katanya yang sebelum ini bekerja di Selangor dengan pendapatan empat angka.

Menurutnya, sehingga kini, lebih 500 karya kaligrafi khatnya berjaya dijual di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Lebih 30 tempahan diterima pada setiap bulan dan sekarang masih ada 10 tempahan kaligrafi perkahwinan yang masih dalam proses untuk disiapkan.

“Tempahan bermula dengan harga RM80 ke atas bergantung kepada saiz serta bahan yang digunakan.


“Saya pernah menyiapkan tempahan kaligrafi Arab berharga RM1,500 dan ia tempahan termahal yang diterima setakat ini,” katanya yang pernah menjadi johan Pertandingan Khat Peringkat Sekolah Negeri 2010.

Katanya, dia mengambil masa antara dua jam hingga 15 hari untuk menyiapkan satu tempahan bergantung kepada saiz dan reka bentuk.

“Saya bertuah kerana isteri (Wan Rabiatul Adawiyah Wan Zaharin, 25) serta ibu dan ayah sentiasa memberi dorongan dan semangat untuk meneruskan minat ini.

“Hasrat saya untuk mengembangkan lagi perkhidmatan itu dan kini saya giat mempromosikannya melalui media sosial,” katanya.


Tag: