• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Duyong Marina Resort Terengganu Rai Tahfiz, Anak Yatim, Penduduk Asnaf Berbuka Puasa


KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Ramadan bukan sahaja bulan ibadah sebaliknya menjadi sebahagian agenda beberapa syarikat korporat untuk berkongsi kemeriahan dan meneruskan tanggungjawab sosial (CSR) mereka.

Duyong Marina & Resort (DMR), salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri juga tidak ketinggalan membuat amalan sama dengan meraikan 159 anak-anak tahfiz, anak yatim dan penduduk asnaf kampung Pulau Duyong di resort berkenaan semalam.

Pemangku Pengurus Besar, Sham Fazli Yusof berkata, program itu merupakan acara tahunan yang membuktikan keprihatinan pihaknya kepada golongan tersebut terutama ketika Ramadan.

Menurutnya, tahun ini adalah tahun keempat DMR mengadakan majlis berbuka puasa bersama mereka yang kurang bernasib baik.

"Mereka ini adalah penduduk miskin yang tinggal sekitar kawasan hotel ini dan kami akan jemput mereka setiap tahun untuk berbuka puasa dengan kakitangan hotel kami termasuk anak-anak tahfiz dan anak yatim.

"Tiada apa yang lebih menggembirakan kita melainkan apabila membuatkan mereka ini bergembira di bulan yang penuh keberkatan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa di Duyong Marina & Resort, di sini petang semalam.


Tambahnya lagi, majlis berbuka puasa itu merupakan antara program CSR yang dirancang sempena bulan Ramadhan ini dan berharap usaha itu sekurang-kurangnya dapat berkongsi keceriaan  sekali gus menikmati Ramadan dengan penuh bermakna.


Dalam pada itu, Sham Fadzli berkata, Duyong Marina pada tahun ini menawarkan bufet Ramadan dengan pelbagai menu istimewa.

“Tawaran yang kami beri ini amat berpatutan dari segi harga dan juadah yang disediakan supaya semua golongan berpeluang untuk menikmati suasana berbuka puasa di hotel seperti golongan yang berkemampuan.

"Bagi orang dewasa harga yang ditetapkan pada RM59 seorang manakala kanak-kanak RM42 seorang," katanya.

Terletak di Pulau Duyong, menghadap Laut China Selatan, DMR merupakan salah satu simbol komitmen kerajaan negeri dalam sektor pelancongan.


Tag: