• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

KUALA TERENGGANU, 15 April - Infrastruktur projek laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dibina lebih tinggi, serta reka bentuk jajaran itu berdasarkan kala purata ulangan (average recurrence interval-ARIL) 100 tahun bagi memastikan ia bebas daripada bencana banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, beberapa lokasi banjir termasuk negeri ini telah dikenalpasti.

"Kerana itu reka bentuknya berdasarkan ARI 100 tahun bagi memastikan landasan dibina lebih tinggi daripada paras banjir tertinggi yang pernah berlaku dalam tempoh 100 tahun dan ditambah lagi 20 peratus.

"Sebagai contoh di Pahang, mengikut statistik ketinggian paras banjir yang pernah berlaku membabitkan Sungai Pahang adalah 38 meter (m) dan landasan yang akan kita bina adalah setinggi 51.2 m, bermakna jajaran dibina adalah lebih tinggi daripada paras banjir yang paling tinggi,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersama MRL Sdn Bhd, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, pihaknya yakin projek berkenaan akan siap sepenuhnya pada Disember 2026.

"Dimana secara keseluruhan ia sudah mencapai kemajuan sebanyak 28.57 peratus dan di Terenggang pula sudah mencapai kemajuan kerja sebanyak 27.86 peratus.

"Dengan harapan rakyat akan mendapat satu sistem pengangkutan yang lebih maju, moden dan efisien dalam usaha kita memantapkan perjalanan rakyat daripada setu negeri ke negeri lain,"ujarnya lagi.

Untuk rekod, rangkaian rel sepanjang 665 KM itu merangkumi 59 terowong dengan panjang keseluruhan 61 km, serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhan 127 km, dianggarkan menelan belanja RM50.27 bilion.