• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

ECRL Diteruskan : Terima Kasih - Menteri Besar Terengganu


Kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Berita gembira itu disambut baik oleh seluruh warga Pantai Timur khususnya rakyat Terengganu kerana projek berkenaan mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi impak positif kepada sosial penduduk setempat.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan perkembangan ini juga, bandar-bandar utama dan sekitarnya akan tumbuh pesat seterusnya dapat meyakinkan pelabur dengan penyediaan pembangunan infrastruktur yang serba lengkap.

"Saya percaya jika komitmen begini diteruskan, rakyat akan mendapat pelbagai manfaat daripada projek pembangunan yang dirancang," katanya dalam kenyataan menerusi laman rasmi Facebook beliau, semalam.

Terdahulu, Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, dalam kenyataan kepada media berkata, keputusan kerajaan meneruskan projek berkenaan akan memberi manfaat ekonomi bukan sahaja kepada usahawan tempatan, tetapi juga kepada kontraktor tempatan.







Katanya, beliau mendapat maklum balas sangat baik daripada warga Pantai Timur, selepas mengumumkan keputusan kerajaan meneruskan projek kontroversi itu.

Tambah beliau, satu daripada konsesi paling penting yang memihak kepada Malaysia ialah penyertaan kontraktor tempatan dalam pembinaan ECRL akan meningkat kepada 40 peratus daripada keseluruhan kerja awam 30 peratus.

Selain itu, katanya, industri sampingan seperti inap desa, kedai makan dan runcit dan lain-lain pasti akan berkembang dengan projek ECRL ini dan kita harap usahawan besar dan kecil dapat mencari inisiatif merebut lebih banyak peluang.



Tag: