• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Elaun Peserta TGTP Naik Kepada RM1500

Ahmad Razif (tengah) bersama sebahagian pelajar yang menerima bantuan persekolahan pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan dan Pelancaran Tuisyen Rakyat Kuala Nerus di Bangunan Penyelaras Telaga Daing, Kuala Nerus, hari ini. Foto Oleh: Harish Fadzillah

 Elaun bulanan peserta Program Transformasi Siswazah Terengganu (TGTP) dinaikkan kepada RM1,500 daripada RM1,000 sebelum ini bermula Januari lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, seramai 258 lepasan universiti di negeri ini yang menjadi peserta perintis program berkenaan mulai Disember lepas akan menerima bayaran tunggakkan elaun masing-masing.

Katanya,  238 peserta daripada kemasukan Disember masih mengikuti latihan di 23 syarikat GLC di bawah Terengganu Inc.

Manakala, seramai 380 peserta kemasukan baru bermula Mac lalu yang sedang mengikuti latihan di 12 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Terengganu Inc dan tujuh GLC di bawah Kumpulan anak syarikat PMINT secara automatik menerima kadar elaun baharu itu.

Katanya, peningkatan kadar elaun itu antara lainnya bertujuan menggalakkan peserta menghargai dan mengenang jasa kedua ibu bapa.

“Kita harapkan mereka dapat bantu ibu bapa dengan menghulurkan sedikit sumbangan daripada elaun yang diterima dan jadikannya sebagai satu budaya,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan dan Pelancaran Tuisyen Rakyat Kuala Nerus di Bangunan Penyelaras Telaga Daing, Kuala Nerus, hari ini.


Program (TGTP) bertujuan memberi pengalaman dan latihan kemahiran tambahan bagi membantu graduan mendapatkan pekerjaan.

Pelancaran inisiatif terbaharu yang merupakan penjenamaan semula kepada Skim Penempatan Siswazah Terengganu (T-GAS) yang diperkenalkan kerajaan negeri pada tahun 2006 itu memberi peluang kepada peserta menimba pengalaman di jabatan, agensi dan GLC negeri ini.

Antara bidang latihan yang ditawarkan dalam TGTP adalah pertanian, pembinan dan pembuatan, pengurusan, usahawan, pelancongan, perikanan dan penternakan.

Tag: