• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

El-Nino, FAMA Sedia Bantu Pasarkan Hasil Tani

KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited untuk membantu mana-mana usahawan atau petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian termasuk yang disebabkan El Nino untuk memasarkan hasil tani masing-masing.

Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata,  petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian boleh berhubung dengan pejabat FAMA berdekatan bagi mendapat pandangan seterusnya peluang pemasaran yang lebih luas hasil pertanian mereka.

“Tak kira musim banjir atau musim panas, FAMA sedia membantu sepanjang masa jika diperlukan kerana pihak kami punyai banyak sumber untuk membantu mereka memasar hasil tani seperti mengadakan aktiviti Pasar Tani, Jualan Agro Madani dan outlet peruncitan FAMA di seluruh negara atau lokasi terpilih di negeri Terengganu.

"Malah, apa sahaja masalah yang dibangkitkan usahawan tani kita akan cuba selesaikan, jumpa mereka untuk mengetahui punca...kita ada pelbagai solusi penyelesaian.

"Setakat ini, kita dah selesaikan banyak isu-isu yang dibangkitkan usahawan tani termasuk (aduan masalah) di media sosial antaranya Johor, Selangor Negeri Sembilan dan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Justeru itu katanya, beliau berharap petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian dapat berhubung dengan pejabat FAMA berdekatan bagi mendapat pandangan seterusnya peluang pemasaran yang lebih luas hasil pertanian mereka.

Beliau juga berkata, seramai 5,696 usahawan di seluruh negara telah menerima manfaat dari pelbagai program yang diadakan FAMA termasuk aktiviti pemasaran, program intervensi dan latihan bagi tempoh Januari hingga April lalu.

“Manakala di Terengganu, terdapat 483 usahawan yang telah FAMA bantu dalam tempoh tersebut bagi tahun ini,” ujarnya.