• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Enam Anak Terengganu Sertai YES Di AS

Shafruddin melancarkan tagline Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu.

Enam anak Terengganu berjaya mengharumkan nama negeri apabila mengikuti program pertukaran pelajar melalui Program Kennedy-Lugar Youth Exchange And Study(YES) di Amerika Syarikat bermula 15 Januari hingga 9 Jun tahun ini.

Pelajar yang terpilih  berusia 18 tahun dan kesemuanya mendapat pendidikan sekolah menengah di Terengganu serta ditaja sepenuhnya oleh pihak Kennedy selama enam bulan.

Mereka yang dihantar merupakan pelajar yang layak selepas mengharungi beberapa peringkat saringan dan berlepas ke sana selepas menjalani Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)bagi memastikan mereka tidak terganggu dalam proses pembelajaran.



Antara yang berjaya ialah Abdul Syukur Maarudin, Nurani Fitri Sayuti dan Nur Azreen Amirah Aziz yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu serta Hafiz Hazmirul Zainuddin yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Tengku Mizan Zainal Abidin.

Dua lagi  ialah bekas pelajar SMK Lembah Bidong dan SMK Tengku Intan Zaharah iaitu Zainun Abdullah serta Siti Aisya Athirah Hassan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu(JPNT), Shafruddin Ali Hussin berkata,  program pertukaran pelajar ke luar negara merupakan satu program terbaik dalam memberi semangat dan jati diri kepada pelajar termasuk para guru untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan," katanya sewaktu Bicara Ilmu Warga Pendidikan Daerah Hulu Terengganu Bersama Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Hulu Terengganu.

Beliau berkata, program ini merupakan hasil kesungguhan dan inisiatif para guru yang inginkan anak didik mereka mendapat ilmu dan pengalaman yang berbeza.

"Peluang harus direbut dengan usaha berterusan secara luar biasa dan kita harapkan guru-guru senior di setiap sekolah khususnya dapat berperanan sebagai mentor bagi membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada guru junior di sekolah masing-masing bagi melahirkan daya usaha yang lebih cemerlang,"katanya.

Tag: