• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

EPIC Berhad Peruntuk RM60 Ribu Bantu Murid Asnaf

KUALA TERENGGANU, 1 April - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad memperuntukkan RM60,000 bagi membantu 80 murid kurang bernasib baik pada program Jalinan Kasih Ramadan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ridzuan Ali berkata, ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk membantu golongan memerlukannya.

Katanya, program Jalinan Kasih Ramadan pada tahun ini melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Kuala Terengganu.

"Setiap murid terpilih diberi peruntukan RM250 kelengkapan Hari Raya Aidilfitri seperti pakaian dan kasut raya.

"Mereka juga diraikan di sebuah majlis jamuan berbuka puasa bernilai RM50 seorang yang diadakan di Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu, di samping menerima duit raya sebanyak RM100," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Jalinan Kasih Ramadan di KTCC Mall semalam.

Tambah Ridzuan, sepanjang Ramadan, EPIC secara keseluruhannya telah memperuntukkan sebanyak RM170,000 untuk menyantuni golongan- golongan asnaf dan juga komuniti setempat melalui program-program CSR bagi  berkongsi rezeki.

Sementara itu, salah seorang anak yatim yang ditemui, Muhammad Fitri Nasrullah Mohd. Rosdi, 10, berkata, dia cukup gembira apabila dapat membeli baju raya dan berbuka puasa di hotel.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran yang kehilangan ayah pada tahun lepas turut menggunakan wang tersebut membeli sepasang baju untuk adik lelakinya yang berusia sembilan tahun.

"Baru- baru ini, mak beritahu dia tidak ada duit nak beli baju raya untuk kami.Bila ada peluang yang Epic bagi, saya pun beli pakaian baru untuk adik supaya mak tak susah hati lagi," katanya yang merindui kenangan di bulan puasa bersama arwah ayah.