• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Erti Sebuah Pengorbanan Dan Keikhlasan

Oleh : Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali/ Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)

Pengorbanan datang dalam perbagai warna. Warna-warna inilah yang mulai mengisi keindahan kehidupan manusia. Tanpa pengorbanan sudah pastilah tiada bernilai erti kasih sayang dan keikhlasan.

Kisah tentang pengorbanan ini tidak pernah lekang daripada kehidupan manusia. Adalah menjadi lumrah berlakunya pengorbanan dalam kehidupan.

Meneliti di sebalik sejarah umat manusia yang diminta untuk mempersembahkan korban pertama. Pastinya kembali diingatkan kepada kisah Nabi Adam diturunkan ke bumi oleh Allah dan takdirkan Hawa menjadi isterinya yang diciptakan dari tulang rusuk kiri Baginda.

Takdirnya menyebutkan baginda diturunkan ke bumi, dengan nikmat kasih sayang Allah maka lahirlah dua pasang anak kembar. Allah memerintahkan Qabil berkahwin dengan kembar Habil, manakala Habil berkahwin pula dengan kembar Qabil.

Walaubagaimanapun Qabil tidak dapat menerima perkara sedemikian dan memprotes perintah berkenaan kerana mahu berkahwin dengan kembarnya sendiri.

Sesetengah riwayat menyatakan, Qabil dan kembarnya dikandungkan di syurga dengan memiliki rupa paras yang tampan dan cantik menyebabkan berlakunya konflik dalaman.

Sebagai solusi paling adil, Nabi Adam mengadu kepada Allah. Lalu Allah berfirman, jika hendak tahu siapa yang layak mengahwini adik Qabil, maka mereka perlu mempersembahkan korban.

Itu antara kisah ikon simbol yang pertama dalam sejarah kehidupan manusia. Dalam kisah ini jelas menunjukkan pengorbanan ini berlaku dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah Taala.

Dalam memilih korban yang baik, Habil memberikan korban yang terbaik kerana dia pengembala kambing.Dia memberikan kambing paling elok dan gemuk sebagai persembahan kepada Allah.

Manakala Qabil yang juga abang kepada Habil adalah petani. Malangnya, dia memberikan hasil pertaniannya yang sudah rosak selain korban yang dilakukan atas dasar hasad dengki.

Lalu Allah menurunkan api dari langit dan menyambar korban Habil sebagai isyarat korban itu diterima Allah.

Sorotan pengorbanan tidak berakhir di sini, pastinya membawa kepada perintah Allah kepada Nabi Ibrahim untuk memyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail.

Atas dasar kasih sayang, dan keimanan yang tinggi, berdua mereka pun tanpa ragu lantas mengikut perintah Allah. Siap Nabi Ismail untuk dikorbankan.

Dipusingkan Baginda ke arah kiblat, seperti mana ibadah korban, diletakkan pisau dileher untuk disembelih oleh Nabi Ibrahim, Allah Taala menurunkan rahmat dan kasih sayangNya dengan menggantikan kibas sebagai sembelihan.

Maka bergembira mereka berdua dalam rahmat dan kasih sayang Allah diturunkan bagi mereka yang bersabar mengikut perintah serta ujian kehidupan.

Dalam melaksanakan ibadat kepada Allah, sudah tentu kita tidak kisah berkorban wang ringgit dan harta benda untuk mencapai tahap ketakwaan.

Begitu juga menggunakan semula konsep ibadah korban dalam kehidupan. Pengorbanan diangkat sebagai isitilah yang amat mulia di sisi nilai kehidupan.

Keadaan situasi bencana virus COVID-19 sangat memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang amat tinggi. Terutamanya dalam menempuhi era kehidupan yang mencabar ini.

Nilai keikhlasan yang ditunjukkan daripada barisan hadapan sudah tidak disangsi lagi. Mereka rela berkorban seadanya masa, tenaga, juga nyawa dalam memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat jelata.

Hampir dua tahun, mereka dikelubungi dengan ‘personal protective equipment’ (PPE) yang bukan sekadar membasah keringat malah ada nyawa turut terkorban.

Alfatihah disedekahkan kepada mereka yang berjuang di medan jihad ini, semoga Allah memberikan tempat terbaik buat mereka.

Kini kita sebagai masyarakat perlu mengambil cakna, serta turut memberikan penumpuan penuh kepada usaha mambanteras virus COVID-19 yang semakin menggila ini

Varient baru ini memerlukan kita mengambil langkah lebih protektif, duduk di rumah dan menjaga kebersihan diri, untuk berkorban menghadapi situasi COVID-19 ini.

Pergorbanan kita sebagai entiti masyarakat ini menzahirkan kasih sayang serta keikhlasan yang turut dinilai di hadapan Allah nanti.

Kasih sayang inilah yang membawa kepada perasaan kita sebagai jiran dan warga masyarakat mengambil cakna kepada keperluan jiran yang memerlukan bantuan makanan.

Sekali gus, dapat menyelesaikan isu, kehabisan barang makanan di rumah bagi mereka yang kurang berkemampuan akibat tidak dapat bekerja mahupun sepanjang situasi PKP berlangsung.

Ini kembali kepada konsep korban yang mahu menghilangkan sifat sombong, bongkak dan ego golongan kaya. Konsep inilah yang turut diterapkan bagi mereka yang menjalankan ibadat Haji, kembali dalam keadaan fitrah.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika Aidiladha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat sebagai saksi dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, berbahagialah dirimu dengannya.” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)

 


Tag: