Festival Memanah Terbuka Asia 2025 Raikan Sunnah di Pentas Antarabangsa

Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman

KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Festival Memanah Owl 916 Terbuka Asia 2025 membuka tirainya secara rasmi pagi tadi di Padang Polo, Terengganu Equestrian Resort (TER), dengan menghimpunkan pemanah tradisional dari seluruh benua Asia.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim yang menyifatkan penganjuran bertaraf antarabangsa ini sebagai manifestasi kebangkitan sukan sunnah di persada dunia.

“Sukan memanah adalah antara sunnah Nabi Muhammad SAW yang sangat dituntut dalam Islam. Ia bukan sahaja aktiviti riadah, malah membentuk fokus, disiplin serta kekuatan mental dan fizikal,” ujar beliau.

Festival yang memasuki edisi kedua ini merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran sulung pada tahun lalu yang turut mendapat sambutan luar biasa.

Beliau turut meluangkan masa mencuba sendiri sukan memanah selepas majlis perasmian, di samping menyantuni para peserta pertandingan yang berlangsung sepanjang hari.

Ucapan tahniah turut dizahirkan kepada pihak penganjur, khususnya Persatuan Memanah Tradisional Terengganu yang mendapat kerjasama erat daripada Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) serta Terengganu Equestrian Resort (TER).

“Terima kasih kepada semua pengunjung dari dalam dan luar negara yang hadir ke bumi Terengganu Darul Iman. Semoga acara ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya lagi.

Menambahkan lagi kemeriahan, festival ini turut diserikan dengan Ralit Market, iaitu tapak jualan yang menghimpunkan pelbagai usahawan tempatan bermula daripada makanan, kelengkapan memanah, pakaian dan banyak lagi.

Penganjuran festival ini bukan sahaja memperkasa budaya sukan sunnah, malah berpotensi menjadi antara tarikan pelancongan sukan utama di negeri ini.

 


Tag: