• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Fiesta Candat Sotong Marang Tarik Lebih 300 Peserta

MARANG, 22 Julai – Seramai lebih 300 peserta menyertai Fiesta Candat Sotong 2023 Marang yang merupakan aktiviti tahunan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata apabila tiba musim mencandat, orang ramai akan membuat tempahan bot untuk merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di tengah laut.

Katanya, sebanyak 33 bot berdaftar yang terdiri daripada Jabatan-Jabatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya.

“Marang sekali lagi menjadi tuan rumah pada tahun ini kerana mempunyai daya tarikan tersendiri sebagai tempat ikonik aktiviti itu.

“Acara tahunan ini juga secara tidak langsung mempromosikan negeri Terengganu sebagai destinasi tumpuan pelancong bagi merasai pengalaman mencandat sotong,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Menyempurnakan Majlis Pelepasan Fiesta Candat Sotong 2023 bertempat di Jeti LKIM Marang di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.

Program ini anjuran bersama Kerajaan Negeri, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Marang serta beberapa lagi agensi dan NGO terlibat.

Tambah Ariffin Deraman, program ini berlangsung selama dua hari iaitu bermula 21 dan 22 Julai 2023.

“Pada hari terakhir akan diadakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang dari pelbagai kategori yang dipertandingkan seperti sotong terberat, terpanjang dan sebagainya.

“Hadiah bernilai lebih RM10,000 ditawarkan kepada para pemenang dalam fiesta kali ini.

“Program ini juga secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan menerusi aktiviti rantaian pelancongan.

“Untuk rekod, Program candat sotong Terengganu pernah diiktiraf sebagai Program Pelancongan Terbaik pada tahun 2019 daripada Majlis Pelancongan Malaysia,” ujarnya.