• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Fizi’s Babershop Tawarkan Khidmat Percuma Untuk OKU



Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 12 Mei -  Kedai gunting rambut milik seorang pemuda di Kampung Tasik Mengkuang, Kerandang, Jabi, Fizi’s Babershop menawarkan khidmat percuma kepada pelanggan orang kurang upaya (OKU) yang berminat mendapatkan perkhidmatan di kedainya.

Peniaga berkenaan, Mohd Hafizi Wan Mat, 27 berkata, selain mencari rezeki yang halal untuk menyara diri dan keluarga, dia memanfaatkan kemahirannya itu untuk memmbuat amalan sebagai bekalan akhirat kelak.

"Siapa pun kita, kerja apa yang kita lakukan, selitkanlah untuk mereka yang kurang berupaya agar mereka terasa dihargai,"katanya.

Hafizi tidak menjangkakan kerja yang mula dilakukan sejak dua tahun lalu sebagai sampingan kini menjadi pekerjaan tetap dan makin maju.



Perniagaannya beroperasi bermula jam 1.30 petang sehingga 6 petang dan pada sebelah malam bermula 8.15 malam sehingga 12.30 pagi setiap hari kecuali Rabu dan Jumaat dibuka hanya pada sebelah malam sahaja. Namun, sepanjang Ramadan terdapat perubahan jadual operasi.

Dalam pada itu, ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim dia berasa sungguh bertuah dan dihargai dengan kesudian seorang pemimpin negeri yang sanggup mendapatkan perkhidmatan di kedainya itu.

“Saya sungguh berbangga seorang Exco Terengganu sudi mendapatkan khidmat daripada saya dan mempromosikan bisnes anak-anak muda seperti saya ini. Sangat menghargai. Orang ramai dijemput datang berkunjung, insyaAllah harga berpatutan,’’ katanya lagi.


Menurut Dr Azman pula, pelbagai kerja boleh diceburi selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam sama ada dalam sektor pertanian, perniagaan, perkhidmatan dan pelbagai lagi yang boleh menjana pendapatan halal dan berkat.

Katanya, masyarakat kini perlu mengubah pandangan negatif  terhadap anak muda kerana terdapat ramai golongan itu yang mampu berusaha untuk meletakkan diri masing-masing di tempat yang terbaik.


"Siapa kata anak muda kita pemalas? Fizi’s Barber Shop bekerja sehingga tengah malam mencari rezeki halal,

"Bekerja dan bersainglah dengan sihat dalam berusaha meningkatkan mutu kerja masing-masing samada di mana-mana peringkat sekalipun," katanya selepas mendapatkan khidmat gunting rambut di kedai itu, malam tadi.

Di samping itu, beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan dengan memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak agar tidak putus asa dalam mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga.

Tag: