• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Gangguan Bekalan Air Sempena Aidilfitri Dijangka Jejaskan 7,225 Akaun Pengguna



KUALA TERENGGANU, 3 Jun- Sejumlah 7,225 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dijangka mengalami masalah gangguan bekalan air pada Aidilfitri nanti ekoran masalah penggunaan air yang melebihi kapasiti pengeluaran ketika musim perayaan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, kapasiti penggunaan air dijangka meningkat 30 peratus berbanding penggunaan pada hari biasa berikutan kepulangan perantau dan cuti persekolahan.

“Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya gangguan tekanan air yang rendah terutama di waktu puncak kepada pengguna bagi sesetengah kawasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 2,923 penduduk terjejas ialah di sekitar daerah Kuala Terengganu manakala 2,132 penduduk mereka yang berada di sekitar daerah Marang.

“Sementara di Hulu Terengganu melibatkan 470 penduduk, Setiu (200) dan Besut (1,500),” ujarnya.

Ir Atemin berkata, antara kawasan terlibat di Kuala Terengganu ialah di Kampung Kesom, Kampung Bukit Petiti, Kampung Banggol Peradong, Kampung Telari, Kampung Padang Machang, Kampung Kubang Bujuk, Kampung Padang Ujik, Kampung Kubang Lembek, Kampung Guntong, Kampung Pengkalan Binjal dan Kampung Surau Haji Yaakob.

“Di Marang pula, antara kawasan terlibat ialah di Kampung Padang Pauh, Kampung Gong Kasim, Kampung Durian Pahit, Kampung Pasir Putih, Kampung Alur Pak Bang, Taman Mas Murni, Kampung Bukit Mawi Kijing, Kampung Bukit Kemas Kelulut, Taman Rashidah, Taman Bukit Indah, Kampung Bukit Jetit, Pengkalan Berangan, Kampung Kubu, Kampung Tok Muchong, Kampung Pasir Tinggi, Kampung Tiruk, Tanah Lot SPKA, Kampung Banggol Pak Ali, Kampung Tasek, Kampung Wakaf Pak Ya Paya Resak, Kampung Machang Lada, Kampung Bukit Cerana Wakaf Dua, Kampung Bukit Parit dan Jerung Seberang.

“Hulu Terengganu (Kampung Kuala Telemong, Kampung Chepoh, Kampung Pantai Ali dan Kampung Tanjung Aur) serta Setiu (Kampung Bintang dan Kampung Bukit Grebar).

“Dan di Besut ialah Kampung Seberang Jerteh, Kampung Padang Luas, Taman Pelagat Utama, Kampung Paroh, Kampung Padang Tapong, Kampung Padang Landak, Kampung Laklok, Taman Saujana, Taman Desa Saujana, Taman Mawar Baiduri, Kampung Kubang Siam, Taman Falahiah serta Taman Bakti,” jelasnya.

Katanya, penghantaran air melalui lori tangki akan dilakukan ke kawasan kritikal dan beliau juga menasihatkan orang ramai agar lebih berjimat cermat di dalam penggunaan air.

“Selain itu, orang ramai juga perlu membuat laporan segera kepada SATU sekiranya menjumpai sebarang kebocoran air di mana-mana tempat dan membuat simpanan air yang secukupnya bagi menampung kegunaan harian.

“Untuk keterangan lanjut, pengguna boleh menghubungi petugas SATU di Careline SATU 1-300-882-111,” katanya.


Tag: