Mahkamah Tinggi Syariah Tangguh Hukuman Sebat Pesalah Khalwat
KUALA NERUS, 25 November - Juara bertahan 2018, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengekalkan gelaran 'ratu bola jaring' apabila menang tipis 14-13 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pada perlawanan akhir bola jaring Sukan Gemaputra XVI 2022, hari ini.
Kedua-dua pasukan merupakan seteru utama sukan bola jaring dan saling bertukar gelaran juara pada dua edisi terakhir Gemaputra yang lalu.
Hasrat PKNP untuk membawa pulang kembali pingat emas setelah kali terakhir muncul juara pada 2016, berkecai apabila jaringan minit akhir pihak lawan di masa tambahan menggagalkan impian itu.
Pada aksi di Stadium Tertutup Gong Badak itu, PKNS mendahului dua gol sebelum PKNP bangkit menjaringkan enam gol untuk selesa di depan.
PKNS bagaimanapun kembali mengejar dengan persembahan lebih agresif dan berjaya menyamakan kedudukan.
Keputusan kekal 6-6 pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Gergasi Merah cemerlang untuk konsisten mengatasi Tok Gajah dengan kelebihan satu jaringan.
Namun pada minit akhir perlawanan, PKNP berjaya menyamakan kedudukan dan perlawanan berakhir seri 12-12.
Memasuki masa tambahan, PKNP terlebih dahulu menjaringkan gol sebelum PKNS kembali menyamakan kedudukan.
GS Gergasi Merah, Aina Irdina Azni melengkapkan saat gemilang PKNS apabila menjaringkan gol kemenangan pada saat terakhir sebelum wisel penamat ditiupkan.
Pasukan tuan rumah, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Perbadanan Johor (JCORP) pula muncul tempat ketiga bersama bagi acara berkenaan.