• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Generasi Muda Palestin Akan Bangkit

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 30 November - Generasi muda Palestin yang baru antara yang diharapkan akan bangkit dan dapat menangani dengan lebih baik masalah Palestin pada hari ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, mereka hendaklah bergerak lebih agresif tetapi berhikmah dalam menangani isu untuk jangka masa panjang.

"Wadah kepimpinan pemuda Palestin yang punyai fikrah Islam yang jelas yang ditubuhkan lebih awal perlu bertindak dan mengambil inisiatif menggerakkan dengan berusaha menyatukan pelbagai gerakan serta pertubuhan di Palestin dalam satu wadah bagi tujuan untuk penyelarasan gerak kerja dan tindakan bersama.

"Gerakan untuk menuntut diadakan pilihan raya Presiden yang diawasi oleh pemerhati luar perlu segera dilaksanakan. Ia mesti pilihanraya yang bebas dan tidak dipengaruhi oleh kuasa-kuasa besar dan Israel di mana rakyat Palestin bebas membuat keputusan sendiri," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap secara atas talian dalam program Seminar bersempena Hari Solidariti Antarabangsa bersama warga Palestin, pada semalam.

Menurutnya, isu Palestin bukan semata-mata tanggungjawab gerakan islam dan negara umat islam tetapi ia juga adalah isu kemanusiaan.

"Ia menuntut keperluan hubungan dengan pelbagai NGO' seluruh dunia dan menarik minat mereka untuk membantu umat Palestin yang dinafikan hak mereka di negara sendiri.

"Masa untuk kita bercakap dan retorik telah berlalu. Perjuangan yang suci ini tidak boleh berasaskan idealisme dan fahaman yang lain. Hanya melalui semangat dan asas perjuangan islam sahaja kemenangan kepada perjuangan ini boleh dicapai," ujar beliau.

Beliau menambah, pihak kerajaan sentiasa mengikuti perkembangan dan membantu mereka memberi sumbangan melalui NGO.

"Sebagaimana komitmen di peringkat kerajaan persekutuan yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada rakyat Palestin.

"Kerajaan negeri juga sentiasa mengikuti perkembangan yang sedang berlaku di Palestin dengan teliti

"Justeru itu, masalah dan isu negara yang sedang bergolak ini adalah tanggungjawab bersama yang perlu dibantu," katanya lagi.


Tag: