• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Generasi Muda Perlu Warisi Pembuatan Songkok Tradisional


KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Pembuatan songkok tradisional kini semakin hilang ditelan zaman memandangkan tidak ramai belia dan anak muda yang berminat untuk mempelajari kesenian dan ilmu pertukangan tangan itu.


Perkara tersebut diakui pembuat songkok tradisional, Adnan Husain yang meluahkan kebimbangan seni membuat songkok tradisional akan pupus ditelan zaman memandangkan kemahirannya tidak diwarisi generasi muda.

Beliau berpendapat, satu usaha berbentuk kursus perlu dilakukan kerajaan untuk mempertahankan seni warisan tersebut sekali gus menarik minat generasi muda menceburi bidang seni halus tersebut yang berpotensi besar untuk diketengahkan.

“Proses pembuatan songkok memerlukan kemahiran dan saya sangat berbesar hati sekiranya kerajaan negeri melalui jabatan berkaitan dapat menganjurkan kursus pembuatan songkok supaya ilmu pembuatan songkok ini dapat diperluaskan.

“Saya sedia memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu dengan anak muda di mana-mana pusat kemahiran jika ada yang berminat bagi meneruskan warisan dalam pembuatan songkok tradisional,” ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman ketika ditemui di Kedai Songkok Warisan miliknya di Kampung Losong Masjid, semalam.


Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri diharap mengambil inisiatif mengadakan kursus jangka pendek sebagaimana kursus- kursus lain yang ada di pusat kemahiran sekarang.

“Tidak ramai anak muda yang berminat untuk buat songkok. Itulah perkara yang amat mendukacitakan saya. Kalau boleh, pihak kerajaan negeri dapat menganjurkan kursus jangka pendek tentang pembuatan songkok seperti kursus jahitan pakaian dan sebagainya.

“Pada saya, jika peserta sudah ada asas menjahit, dalam tempoh lebih kurang enam bulan cukup untuk mereka menguasai kemahiran menjahit songkok tradisional. 

"Perkara ini perlu diberi perhatian agar kita dapat mencari lebih ramai pengganti pembuat songkok tradisional agar ia tidak lesap ditelan arus zaman,” ujarnya.

Tag: