Golongan OKU TAPAi Terima sumbangan Primula Beach Hotel

KUALA TERENGGANU, 7 Disember - Golongan orang kelainan upaya (OKU) tidak wajar disisih dan dipandang rendah oleh masyarakat, sebaliknya perlu diberi perhatian sewajarnya.

Justeru itu, Primula Beach Hotel melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mengambil peluang menyantuni mereka dengan memberi sumbangan berbentuk makanan dan cenderahati kepada OKU yang menjalani latihan dan menghasilkan produk kraftangan tempatan berkualiti tinggi di Butik dan Bengkel Kraftangan TAPAi, sebuah anak syarikat Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad.

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata program seumpama ini berupaya membuka mata masyarakat agar lebih mengambil berat terhadap insan istimewa dan memupuk interaksi sosial yang sihat dan positif di antara golongan ini bersama Primula Beach Hotel. 

Katanya, program ini juga dapat menjadi platform terbaik sebagai medan kesedaran dalam memberi peluang dan ruang kepada golongan OKU untuk menunjukkan bakat dan menghargai hasilnya walaupun dengan kekurangan diri mereka.

“Dengan sedikit sumbangan ikhlas ini, diharapkan Primula Beach Hotel dapat membakar semangat mereka agar terus maju kehadapan dan berusaha meningkatkan kualiti produk tempatan terutamanya Batik dan Songket Terengganu.

“Secara tidak langsung dapat menyedarkan masyarakat betapa penting kepedulian dan pembangunan di kalangan OKU dan berharap agar orang ramai dapat membantu dengan memberi sumbangan mahupun menaja sebarang aktiviti yang ingin dijalankan pada masa akan datang,”ujarnya kepada pemberita.

Tambahnya, usaha berterusan membantu golongan OKU merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.

Butik dan Bengkel Kraftangan TAPAi ditubuhkan pada tahun 2017, yang bertujuan untuk menjadi salah satu platform bagi membantu dan mengasah bakat golongan kurang upaya untuk menghasilkan produk kraftangan batik yang sinonim dengan negeri Terengganu sebagai penghasil produk batik yang berkualiti tinggi.

Hasil jualan dari produk tersebut disalurkan kepada golongan orang orang kurang tersebut sebagai sumber pendapatan atau gaji untuk kegunaan harian kehidupan mereka.