• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

GPFP Jalin Kerjasama Bangunkan Perladangan Hutan

KUALA TERENGGANU, 29 Mei – GP Forest Plantation Sdn Bhd (GPFP) telah memeterai perjanjian bersama dengan BFC Research and Development Sdn Bhd (BFC) untuk pembangunan projek perladangan hutan di Terengganu.

Pengarahnya, Datuk A Rahman Yahya berkata GPFP merupakan  anak syarikat di bawah Golden Pharos Bhd (GPB) yang mengusahakan projek perladangan hutan seluas 2,869 hektar bertempat di Hutan Simpan Jerangau, Dungun, Terengganu.

Katanya, perjanjian itersebut merupakan susulan daripada lawatan wakil BFC ke ladang hutan milik GPFP tahun lepas yang memberi maklumbalas bahawa pengurusan ladang hutan GPFP memerlukan penambahbaikan yang bersesuaian.

“Oleh kerana itu, BFC telah menawarkan kepada GPFP perkhidmatan teknikal sokongan secara kontrak bagi menyemak prosedur standard operasi bagi penanaman perladangan hutan.

“Jika perlu, BFC akan turut membuat prosedur standard operasi baharu kepada GPFP untuk memastikan bahawa projek perladangan hutan ini dilakukan dengan mematuhi polisi dan syarat-syarat penanaman hutan,” katanya dalam satu kenyataan.

A Rahman turut berkata perjanjian yang termeterai ini diharapkan dapat membantu kerajaan negeri mewujudkan perladangan hutan yang berdaya maju di Terengganu.

Tambahnya lagi, terbaharu GPFP telah mengadakan lawatan kunjung hormat ke syarikat BFC dan seterusnya menandatangani perjanjian ini bagi membolehkan segala kerja-kerja semakan dapat dilakukan dengan segera.