• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Hanya Satu Hari Lagi Peluang Rakyat Namakan Maskot Penyu

KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Hanya berbaki satu hari sahaja lagi peluang untuk rakyat negeri ini menamakan dua ekor penyu, satu jantan dan satu betina yang akan menjadi maskot  pelancongan Terengganu.

Pertandingan berkenaan layak disertai oleh semua rakyat Malaysia yang berumur tujuh tahun ke atas kecuali kakitangan pelancongan Terengganu dan ahli keluarga tidak boleh menyertainya.

Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman berkata, hadiah yang dijanjikan ialah wang tunai RM500 dan juga pakej percutian yang menarik dan tarikh tutup pada 22 Februari sebelum jam 5 petang.

"Kita mengangkat kembali penyu ini kerana ia melambangkan negeri Terengganu kali ini dengan imej beridentitikan rakyat negeri pakai kain batik, pakai tudung jadi kita ketengahkan kembali ikon ini supaya memberi daya tarikan.

"Walaupun sebelum ini kita telah memperkenalkan penyu sebagai simbol pelancongan negeri tetapi pada kali ini kita memperkenalkannya melalui konsep serta nafas baru yang lebih menarik," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu, di sini, baru-baru ini.

Katanya, langkah mengangkat kembali reptilia itu sebagai ikon sangat bersesuaian dengan usaha kerajaan negeri memulihara haiwan tersebut yang dijalankan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

"Kita akan jadikan juga aktiviti melepaskan anak penyu sebagai aktiviti yang ada dalam kalendar pelancongan pada tahun ini dengan mengajak pelancong-pelancong untuk bersama-sama melepakan anak penyu.

"Bagi memberikan kesedaran dan memupuk kecintaan kepada penyu yang kita tahu sekarang ini mengalami ancaman kepupusan jadi kita mengharapkan melalui usaha pelepasan anak penyu yang dijalankan pada tahun-tahun sebelum ini akan memastikan meningkatnya kedatangan penyu yang dilepaskan," ujarnya.