KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Pelumba muda yang kian meningkat naik, Mohd Harith Farhan Baharin, 23, berazam mempamerkan aksi terbaik buat peminat pada kejuaraan Pusingan Ke-4 perlumbaan PETRONAS CubPrix yang akan bermula esok.
Pelumba berasal dari Bukit Besar, Kuala Terengganu itu menyifatkan, perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak menaikkan semangatnya untuk meraih podium.
"Saya memang dari awal tahun 'prepare' untuk berlumba di sini, di kampung sendiri kerana saya 'familiar' dengan litar ini dan sering berlumba di sini sejak dari ia dibuka dahulu.
"Kalau tiada apa-apa masalah, saya menyasarkan untuk muncul pelumba terbaik di podium di sini," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu majlis beramah mesra bersama media di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau yang membuat penampilan pertama bersama pasukan Tobaki Pink Racing Team pada musim ini untuk cabaran kategori CP125 menjelaskan, komunikasi yang lancar bersama rakan sepasukan Saiful Azhary Mohamad bakal menjadi percaturan terbaik untuk beliau terus mengutip mata buat pasukan.
Tambah Harith, faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini dengan berbekalkan pengalaman bersama beberapa pasukan terdahulu, Harith optimis untuk menghadiahkan podium di Litar Gong Badak, Kuala Nerus di hadapan peminatnya tersendiri.
Saya memang suka hujan sebenarnya. Kelebihan saya, memang saya boleh bawak dalam hujan sebenarnya, jadi kalau orang kata hujan esok, saya tiada masalah," katanya.
Sebelum ini, pencapaian terbaik dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022, Harith yang memakai nombor 52, berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga pada pusingan kedua di Litar Lumba Tangkak, Johor.