• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Havoc Asean Food Festival Himpun Makanan Lima Negara

KUALA NERUS, 2 November - Havoc Event & Management Sdn Bhd dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri Terengganu telah menganjurkan Havoc Asean Food Festival dengan menghimpunkan makanan pelbagai variasi popular dari lima buah negara asia.

Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn Bhd, Faizul Mohd Yusof berkata, orang ramai boleh merasai sendiri pengalaman menikmati masakan dari Indonesia, Singapura, Vietnam, Thailand termasuk Malaysia.

Ujarnya, Terengganu menjadi lokasi pilihan untuk siri jelajah ke-14 sejak ia mula diadakan pada tahun 2019, kerana negeri ini merupakan tumpuan utama pelancong domestik dan antarabangsa untuk hadir.

"Pihak kami berharap agar penganjuran kali ini akan mampu menarik seramai mungkin pengunjung yang bagi menikmati variasi makanan yang ada pada kali ini, 160 usahawan seluruh negeri termasuk 20 usahawan tempatan, juga selebriti dan pempengaruh bersedia melayan kehadiran pengunjung.

"Pihak Havoc Event  & Management Sdn Bhd serta kerajaan negeri menjangkakan jumlah kehadiran sekitar 200,000 pengunjung sepanjang program diadakan empat hari program berlangsung," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap  pada perasmian program berkenaan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar , di Perkarangan Kompleks Sukan Kuala Nerus, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat.

Mengulas lebih lanjut katanya, selain daripada menawarkan kepelbagaian makanan dari lima buah negara program akan turut diserikan dengan acara pentas berkonsepkan islamik yang selari dengan garis panduan kerajaan negeri.

"Diantara acara yang akan diadakan ialah Program Ilmu : Ilmu Apa Hari Ini?, Majlis Selawat dan Qasidah Perdana, Persembahan Busker berkonspekan ketuhanan/lagu rakyat.

"Juga menyediakan aktiviti kekelurgaan seperti Parrot Show, Petting Zoo, memanah, sukan rakyat dan pertandingan mewarna bagi kanak-kakak," ujarnya.

Tambah beliau lebih istimewa, penaja utama Ade Azhar Trading juga menyediakan beberapa hadiah cabutan bertuah serta turut sama membawakan Yayasan Ade Azhar bagi pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Cinta Gaza yang turut menyediakan Tabung Kemanusiaan Palestin.

Kemuncak acara akan diserikan dengan cabutan Xtravanga dimana mereka yang bertuah akan memenangi hadiah utama sebuah Kereta Perodua Bezza dan sebuah Motorsikal RX-Z.