• 19 Mei 2024 | 11 Zulkaedah 1445

HEBAT Hidang Kemeriahan Aktiviti Untuk Beliawanis


KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Pelbagai aktiviti yang diadakan sepanjang Himpunan Belia dan Beliawanis Terengganu (HEBAT) yang diadakan selama dua hari bermula Jumaat lalu.

Antara permainan untuk beliawanis ialah ‘Running Supergirl’, melempar Dart, Ceper (tudung botol) dan pertandingan mewarna dalam kategori lima hingga enam tahun untuk kategori satu manakala kategori dua, tujuh hingga sembilan tahun tidak ketinggalan diadakan untuk anak-anak Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Tadika.

Salah satu permainan yang menarik adalah ceper, permainan berdasarkan penggunaan lima buah tutup botol yang popular sekitar 1970 hingga 1980.

Menurut Pengurus Pertandingan Ceper, Nur Atiqah Najihah Cairul Anwar, ia bertepatan dengan objektif untuk mengembalikan nostalgia sukan rakyat pada zaman dahulu.

“Ia adalah salah satu permainan tradisional yang sering dimainkan oleh kanak-kanak.

“Permainan ini biasanya melibatkan dua pemain dan banyak lagi. Cara untuk bermain permainan ditentukan dengan menghitung bilangan pemain yang berjaya,” ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui di Stadium Negeri Jalan Sultan Mahmud semalam.

Selain itu, kata beliau, ia sangat berjaya dan dapat mengeratkan ukhuwah di antara 39 orang peserta dari seluruh negeri Terengganu dan 12 orang petugas yang memantau serta mencatat mata setiap individu dalam kelompok.

“Permainan itu berjaya sehinggakan ada yang tidak puas bermain namun masa mencemburui,” jelasnya.

Pemenang yang mendapat tempat ketiga ialah Siti Nuraini Mohd Nazir, tempat kedua Lailatul Nadia Bidi, dan pemenang pertama Nor Azlina Ghazali.

Sementara itu, Pengurus Pertandingan Dart, Wan Nur Fadilah Wan Ismail berkata, melempar Dart turut mendapat sambutan.

Kata beliau, sukan  melempar Dart menuju sasaran bulat yang ditetapkan ke dinding dapat mencungkil kemahiran dan fokus peserta.


“Seramai 57 peserta dibahagikan kepada 19 kumpulan yang melibatkan tiga orang peserta.

“Setiap peserta memberikan tumpuan melemparkan anak panah Dart pada titik sasaran,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, pertandingan mewarna telah mendapat penyertaan paling ramai, dengan seramai 280 orang kanak-kanak mengambil bahagian.

Tengku Adlina Tengku Muda yang mengendalikan pertandingan mewarna berkata, objektif  pertandingan tersebut adalah untuk memberi peluang kepada para peserta menonjolkan bakat asas melukis.

“Pertandingan mewarna itu meningkatkan daya kreativiti para peserta yang mengambil bahagian.

“Alhamdulillah ia berjaya dan para peserta terkawal sepanjang pertandingan berlangsung cuma bilangan yang terlibat tidak mencapai sasaran penganjur seramai 400 orang,” katanya.

Bagi pertandingan mewarna, pemenang ketiga kategori lima hingga enam tahun ialah Nur Auni Amani Mohd Rosaufi, pemenang kedua Noor Dian Fathiah Mohd Fadhil dan johan ialah Haziq Rayqal.

Manakala kategori tujuh hingga sembilan tahun pula bagi tempat ketiga ialah Shazia Ariasa Yusmaini, tempat kedua Nur Aina Husna Mohd Rossaufi dan johan Dayana Safrina Afandi.


Tag: