• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Hentian Bas Baharu Tamat Penantian Enam Tahun Penduduk Marang

Hentian Bas Marang bakal bantu tingkatkan sosioekonomi rakyat.


MARANG, 24 April - Hentian Bas Marang yang baru siap dibina menamatkan penantian penduduk kawasan itu sejak 2013.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan hentian bas tersebut mula dibina pada tahun 2017.

"Fasa terakhir hentian ini akan siap pada Mei ini di mana ia akan sempurna terdiri daripada hentian bas, enam kiosk, tiga kedai makan, parkir bas, tiga kedai pelbagai dan tandas.

"Hentian bas ini boleh menampung 400 orang dalam satu masa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan perhentian berkenaan yang terletak di bandar Marang, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah.
Dr. Samsuri dan isteri tiba dengan menaiki bas Sani Express dari Batu Buruk.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Beliau yang hadir bersama isterinya, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman turut berharap dengan adanya kemudahan itu akan merancakkan ekonomi penduduk di sekitar kawasan tersebut.

"Hentian ini bukan sekadar menjadi suatu perkara baharu di Marang, kemudahan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya.

"Saya berharap hentian ini dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial penduduk Marang," katanya.

Sebanyak RM2 juta digunakan untuk membina hentian bas berkenaan dengan RM1.3 juta daripada kerajaan negeri.

Manakala, baki RM700,000 oleh kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.





Tag: