• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Hentian Bas Kuala Terengganu Akan Diberi Perhatian Sewajarnya - Ahmad Amzad


KUALA TERENGGANU, 5 Ogos -
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim turun padang untuk meninjau keadaan terkini Kompleks Hentian Bas Kuala Terengganu (KHBKT) yang merupakan salah satu destinasi wajib yang dikunjungi oleh pengunjung tempatan atau luar.

Beliau yang dimaklumkan tentang Kompleks Hentian Bas kini menghadapi beberapa masalah turut mengadakan perjumpaan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan KHBKT serta ajk yang terlibat.


Katanya, kebimbangan dalam keadaan perniagaan yang merundum dan adanya ura-ura menaikkan kadar sewaan menyebabkan peniaga-peniaga berada dalam keadaan yang tidak selesa.

"Kekurangan pengunjung menyebabkan peniaga-peniaga menghadapi masalah dari segi kurang penjualan, kurang pengunjung dan sebagainya.

"Semua ini kita akan bagi perhatian, saya juga telah pun meninjau serta melihat keadaan yang kekurangan pengunjung dan tarikan lebih-lebih lagi apabila pembukaan Pasar Payang 2 yang baru ini yang menjadikan tumpuan dan tarikan orang ramai beralih ke sana,"ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Ahmad Amzad berkata antara perkara keperluan yang dicadangkan dan dibincangkan dengan bersama Pengerusi KHBKT, Muhusin Mohamad dan ajk
ialah memohon kerajaan negeri melalui Exco Perlancongan untuk mempromosikan kompleks ini sebagai salah satu tempat membeli belah yang perlu dilawati.

"Dan banyak  perkara yang melibatkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) seperti memperbaiki atau menambahbaik sestem pencahayaan di KHBKT terutamanya diwaktu malam.

"Termasuk menyediakan atau mengaktifkan sistem CCTV di kawasan kompleks dan sekitarnya bagi keselamatan pengunjung serta peniaga selain membuka kembali pembahagi jalan dihadapan bangunan bagi mengelakkan kesesakan dijalan berkenaan,"kata beliau.

Tambahnya lagi, beliau akan mengaturkan perkara ini supaya diberikan perhatian bersama Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

"Kita juga akan bekerjasama baik dengan semua Persatuan-persatuan yang kita anggap sebagai penghubung kepada semua peniaga-peniaga dan penjaja,"jelasnya.

Ahmad Amzad berharap  sesuatu perlu dilakukan untuk menambahkan lagi keceriaan, tarikan serta perlukan kepada hebahan dan promosi supaya orang ramai tahu di Hentian Bas ini terdapat banyak benda yang tiada ditempat lain.


Tag: