• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hulu Terengganu, PMINT Juara Pertandingan Bot Berhias

KUALA TERENGGANU, 30 September - Hulu Terengganu dinobatkan sebagai johan Pertandingan Bot Berhias Sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi kategori pejabat daerah.

Manakala bagi kategori Badan Berkanun (GLC) pula dimenangi oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Kedua-dua johan pertandingan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 beserta piala.

Dalam pertandingan itu sebanyak 16 buah bot telah menyertai melalui dua kategori yang dipertandingkan iaitu Pejabat Daerah dan GLC.

Lapan daerah, Hulu Terengganu, Kemaman, Setiu, Besut, Kuala Terengganu, Dungun, Kuala Nerus dan Marang telah menyertai acara berkenaan.

Bagi kategori GLC pula selain PMINT turut disertai oleh Kumpulan PMINT, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (TI), Syarikat Air Terengganu (SATU), TDM Berhad, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Turut hadir menyaksikan acara yang diadakan semalam ialah, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Terdahulu kesemua bot yang menyertai acara berprestij itu melakukan perarakan bermula dari arah Pulau Kambing, seterusnya melalui Pulau Warisan, Duyong Marina, Jeti Penambang Seberang Takir seterusnya ke Jeti Shah Bandar dan Payang Walk.

Sebelum acara penyampaian hadiah acara berkenaan turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Apex Tajudin.

kemuncak acara ribuan yang hadir turut dihiburkan dengan pertunjukan 'flyboard' dan bunga api.

 


Tag: