• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Hutan Simpan Kekal Terengganu 542,411 Hektar

Mohd Rahim (kanan) bersama Exco Kerajaan Terengganu, Dr Azman Ibrahim (dua dari kanan) dalam Majlis Hari Hutan Antarabangsa (HHA) Peringkat Negeri Terengganu 2019 di Dewan Terbuka Universiti College Bestari (UCB), Setiu baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) menyatakan bahawa keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Negeri Terengganu sehingga Disember 2018 adalah seluas 542,411.00 hektar bersamaan dengan 42 peratus dari keluasan tanah negeri.
Pengarahnya, Encik Mohd Rahim Raniberkata, sementara pengkelasan HSK di bawah Hutan Pengeluaran adalah seluas 414,210.43 hektar manakala Hutan Perlindungan seluas 128,200.57 hektar.
Justeru itu katanya, adalah menjadi wawasan jabatan untuk diiktiraf sebagai sebuah agensi terunggul dalam Pengurusan Hutan Tropika Secara Berkekalan (PHSB).
Menurutnya, JPNT bertanggungjawab untuk memelihara dan membangunkan khazanah sumber hutan negeri.
"Oleh yang demikian, adalah penting bagi jabatan ini untuk berusaha mencapai wawasan tersebut dan memenuhi aspirasi negara di mana sektor perhutanan akan terus menjadi penyumbang utama kepada perindustrian dan pembangunan sosio-ekonomi negara.
"Ianya dapat dicapai melalui pengekalan keseimbangan ekologi dan memelihara kestabilan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusannya sebagai pengarah di laman web milik jabatan itu, baru-baru ini.
Mohd Rahim berkata, JPNT juga bertindak bagi menyediakan lesen pengeluaran kayu-kayan balak dan hasil hutan dalam kawasan HSK, tanah kerajaan dan tanah milik serta perlesenan dan pemantauan kilang-kilang Industri Berasaskan Kayu (IBK).
Jabatan juga katanya, giat menguatkuasakan Akta Perhutanan Negara 1984 dan Enakmen Industri Berasas Kayu 1986 khususnya dalam pencegahan pembalakan haram dan aktiviti pemprosesan kayu secara haram.
"Jabatan turut berperanan dalam sektor eko-pelancongan menerusi penubuhan dan penyelenggaraan 12 kawasan hutan lipur di seluruh negeri Terengganu.
"JPNT juga komited dalam melaksanakan Persijilan Pengurusan Hutan MC&I (Hutan Asli) agar semua aktiviti dan proses kerja yang dilaksanakan adalah menepati standard kualiti yang ditetapkan," jelas beliau.


Tag: