• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

Ibu Tunggal Dapat Rumah Percuma

Ustaz Ridzuan Hashim (tiga dari kiri) menyerahkan replika kunci kepada Aminah Embong.
Oleh: Mohd Haniff Bin Abas

KUALA TERENGGANU, 27 April - Seorang ibu tunggal mendapat durian runtuh apabila terpilih untuk mendapatkan sebuah rumah melalui Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, Aminah Embong adalah seorang yang sangat bertuah kerana terpilih dari jutaan orang yang memerlukan rumah kediaman.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Projek Baiti Jannati TNB yang diadakan di pekarangan rumah penerima di Kampung Buluh Gading Dewan, tengahari kelmarin.

“Saya ingin melahirkan rasa gembira, terharu dan bersyukur kerana dalam ramai-ramai rakyat Terengganu yang memerlukan rumah, DUN (Dewan Undangan Negeri) Buluh Gading terpilih untuk memiliki rumah tersebut. Tahniah kepada Aminah Embong kerana terpilih untuk mendapatkan rumah ini.

“Syabas dan tahniah kepada TNB kerana menunaikan tanggungjawab sosial secara seimbang dan berterusan kepada masyarakat,” ujar beliau lagi.

Ridzuan juga menjelaskan, berdasarkan daftar secara 'online', lebih 100 ribu telah memohon untuk mendapatkan Rumah Mampu Milik (RMM) di Terengganu. Pada tahun ini kerajaan negeri telah meluluskan RMM di empat kawasan iaitu Tok Jembal Kuala Nerus, Tajin Hulu Terengganu, Tempinis di Besut dan Gong Cengal Kemaman yang  dijangka siap pada tahun hadapan.

Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Terengganu Bahagian Retail TNB, Mohd Nazri Puteh menyatakan, rumah ini adalah yang terakhir disiapkan dari peruntukan empat buah rumah pada tahun 2018 manakala pada tahun ini (2019) TNB memperuntukkan 10 buah rumah dan kesemuanya  sedang dalam pembinaan.

“Kita memperuntukkan kos sebanyak RM50 ribu bagi sebuah rumah dengan keluasan 20 kaki lebar dan 30 kaki panjang,” ulasnya.

Sementara itu, penerima rumah, Aminah Embong melahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT dan jutaan terima kasih kepada pihak TNB kerana memilih beliau untuk projek ini.

“Alhamdulillah, dapatlah kami empat beranak menyambut aidilfitri di rumah baru pada tahun ini.” ujar beliau ringkas kerana terlalu gembira.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Buluh Gading Dewan, Shahrin Musa.

Tag: