• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Iftar ‘Nasi Tenong’ Atas Bot Susur Sungai Terengganu

 KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Payang Water Taxi River Cruise (PWTRC) kini mempunyai satu lagi tarikan terbaharu iaitu berbuka puasa dengan Nasi Tenong di atas bot sambil menyusuri Sungai Terengganu.

Pengerusi Cas Ligas Sdn Bhd, Zakaria Dagang berkata pihaknya memperkenalkan inisiatif ini bagi membolehkan pengunjung menikmati keunikkan ataupun mengimbas kenangan berbuka puasa menggunakan bekas tenong yang pernah popular pada suatu masa dahulu.

Katanya, harga hidangan nasi tenong ini bermula serendah RM35/seorang. Harga jualan ini sudah termasuk pakej menyusuri sungai Kuala Terengganu bersama bot Payang Water Taxi.

“Pakej nasi tenong ini terbahagi kepada beberapa jenis lauk pauk tradisional Terengganu sebagai juadah berbuka puasa seperti  ikan baung masak tempoyak beserta ulam-ulaman dan buah-buahan. 

“Selain itu, pengunjung juga boleh memilih juadah lain seperti nasi berlauk sayur lemak dan kami juga turut menyediakan juadah istimewa iaitu Nasi Arab,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan pakej Nasi Tenong di sini, semalam.

Jelas beliau, pengunjung juga boleh membawa juadah sendiri untuk pakej berbuka puasa bersama bot Payang Water Taxi. 

“Pakej ini dikenakan caj sebanyak RM15.00 untuk dewasa dan RM10.00 untuk kanak-kanak,” katanya lagi.

Sementara itu Payang Water Taxi turut mengadakan promosi diskaun sebanyak 50 peratus bagi perkhidmatan river cruise iaitu hanya RM10 bagi dewasa dan kanak-kanak.