Jalur Gemilang
Berita :
Himpunan Cilik Semai Cinta Rasulullah Sejak Kecil
Himpunan Cilik Semai Cinta Rasulullah Sejak Kecil
Noraini Jusoh
3 jam yang lepas
92

KUALA NERUS, 26 September – Himpunan Cilik Kasih Rasulullah menjadi wadah penting dalam menyemai rasa cinta kepada Rasulullah S.A.W dalam kalangan kanak-kanak sejak usia kecil.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor berkata, program tersebut bukan sekadar menghimpunkan kanak-kanak sebaliknya mampu menjadi platform membentuk generasi yang mencontohi akhlak Baginda. 

“Kita mahu anak-anak mengenali junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, mencintai akhlak Baginda serta mencontohi sifat penyayang, amanah, sabar dan berkasih sayang yang telah Rasulullah tunjukkan kepada seluruh umat manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Cilik Kasih Rasulullah Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Stadium Tertutup kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zuraida berkata, kanak-kanak merupakan pewaris masa hadapan yang perlu dibentuk bukan sahaja dengan ilmu malah akhlak terpuji, jiwa penyayang serta sikap menghormati ibu bapa dan guru.

Menurutnya, mereka juga perlu dibimbing supaya mencintai agama dan masyarakat melalui penerapan nilai agama, kasih sayang dan akhlak yang baik sejak kecil.
“Himpunan Cilik Kasih Rasulullah merupakan satu lagi usaha kita menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui program-program yang bermanfaat.

“Sebelum ini, kita telah berjaya melaksanakan Himpunan Wanita (Program Saidatina Aisyah) yang menghimpunkan kaum wanita dan pada hari ini kita mencipta satu lagi sejarah apabila buat pertama kalinya menghimpunkan anak-anak dalam satu himpunan yang khusus untuk golongan ini,” katanya.

Menurut beliau, penganjuran berkenaan membawa makna besar kerana kanak-kanak merupakan generasi yang bakal mewarisi masa hadapan negara.

Justeru katanya, mereka perlu didekati, disantuni dan dibimbing sejak kecil bagi memastikan dapat membesar dengan nilai agama, kasih sayang serta jati diri yang baik.
“Kita berharap penganjuran sulung ini menjadi titik permulaan kepada usaha lebih besar dalam membentuk generasi yang mencintai Rasulullah S.A.W dan menjadikan akhlak Baginda sebagai contoh dalam kehidupan. 

"Dan juga menjadi pencetus kepada lebih banyak program yang memberi perhatian kepada golongan kanak-kanak pada masa akan datang," ujarnya. 

Dalam pada itu, Zuraida turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, agensi, pertubuhan, pendidik, ibu bapa, sukarelawan serta pihak yang berganding bahu dalam menjayakan program tersebut. 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan