Jalur Gemilang
Berita :
Infrastruktur Asas, Saliran Kawasan Luar  Bandar Diperkasa Demi Kesejahteraan Penduduk Jabi
Infrastruktur Asas, Saliran Kawasan Luar Bandar Diperkasa Demi Kesejahteraan Penduduk Jabi
Hidayah Azlin
4 jam yang lepas
87

SETIU, 28 September – Usaha menaik taraf infrastruktur asas dan sistem saliran di kawasan luar bandar terus diperkasakan menerusi pelbagai inisiatif baharu demi kesejahteraan serta keselamatan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi.

Terbaharu, dua projek pembangunan kemudahan asas dilaksanakan serentak di Kampung Jabi melibatkan kerja-kerja menaik taraf laluan perhubungan serta penyelesaian isu perparitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim memaklumkan bahawa bagi kemudahan perhubungan, kerja-kerja penaiktarafan Jalan Lorong Ros kini dimulakan menerusi pembinaan asas jalan berasaskan batu kelikir (jalan putih).

"Mulakan hari dengan berbakti. Tidak dapat buat jalan hitam, kita buat putih dulu. Jalan ini akan jadi asas untuk kita angkat peruntukan berturap (premix) pula nanti," kata beliau.

Mengulas lanjut, Dr. Azman menjelaskan bahawa penyediaan asas jalan putih berkenaan amat kritikal untuk menstabilkan struktur tanah laluan tersebut. Langkah ini bukan sahaja memberikan kemudahan laluan sementara yang lebih selesa kepada penduduk, malah menjadi tapak fizikal dan asas permohonan untuk kelulusan peruntukan penurapan berturap (premix) secara menyeluruh pada fasa seterusnya.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah limpahan air di kawasan kediaman, projek pembinaan pembetung kotak (Box Culvert) turut dilancarkan di Jalan Layout, Kampung Jabi.

Pembinaan pembetung kotak berkenaan berfungsi menyediakan laluan saliran tambahan yang menghubungkan saliran longkang tanah terus ke titik pelepasan akhir (final discharge point). 

‘’Langkah teknikal ini dijangka mampu melancarkan aliran air hujan sekali gus meredakan risiko kejadian banjir kilat di kawasan terbabit.’’ Ujarnya.

Pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan tempatan dalam merancang dan menyelesaikan isu keutamaan rakyat secara berfasa serta berkesan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan