Jalur Gemilang
Berita :
JPS Nilai Keberkesanan Tiga Projek Utama Di Terengganu, Pastikan Manfaat Benar-Benar Dirasai Rakyat
JPS Nilai Keberkesanan Tiga Projek Utama Di Terengganu, Pastikan Manfaat Benar-Benar Dirasai Rakyat
Rohayati Ripin
24 Sep 26
35

KUALA TERENGGANU, 24 September – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu memastikan setiap projek yang dilaksanakan bukan sekadar mencapai penyelesaian fizikal, sebaliknya benar-benar memberi impak dan manfaat kepada masyarakat menerusi Lawatan Verifikasi Kajian Penilaian Outcome (KPO) JPS Malaysia Tahun 2026.

Pengarah JPS Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah berkata, lawatan verifikasi yang berlangsung pada 22 hingga 23 September itu melibatkan tiga program dan projek terpilih di negeri ini bagi menilai pencapaian outcome serta manfaat yang terhasil daripada pelaksanaannya.

Katanya, sesi berkenaan diketuai Pengarah Bahagian Audit Prestasi JPS Malaysia, Puan Ir. Faridah Mohd Razelan.

“Lawatan ini bertujuan menilai dan mengesahkan pencapaian outcome serta manfaat yang terhasil daripada pelaksanaan projek.

"Di samping melihat keberkesanan projek dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan dan memberi impak kepada masyarakat serta pemegang taruh,” jelasnya ketika dihubungi.

Tiga projek yang terlibat ialah Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang, Rancangan Tebatan Banjir Kemasik dan RHN Fasa 1 – kerja pemasangan serta naik taraf peralatan mekanikal dan elektrikal bagi Stesen Rangkaian Hidrologi Nasional (RHN) serta kerja berkaitan di Terengganu.

Menurut Osman, proses verifikasi itu turut menjadi platform untuk perkongsian maklumat, semakan pencapaian dan mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan projek JPS memberikan outcome yang berkesan.

Tambahnya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan pelaburan dan pelaksanaan projek kerajaan diterjemahkan kepada manfaat yang optimum serta nilai tambah kepada rakyat.

“JPS Terengganu terus komited memastikan setiap projek yang dilaksanakan bukan sekadar siap secara fizikal, tetapi benar-benar memberi impak dan manfaat kepada masyarakat,” katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan