KUALA LUMPUR, 17 November – Kerajaan digesa menghentikan alasan birokrasi dan kekangan kewangan, sebaliknya menetapkan garis masa yang muktamad bagi pelaksanaan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) demi menjamin keadilan pembangunan antara wilayah.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kekecewaan itu ketika membahaskan peruntukan Butiran 8100 (Pembinaan Jalan Baharu) Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat, semalam, selepas menyifatkan status projek berkenaan terus terperangkap dalam kitaran jawapan yang tidak berkesudahan.
Jelasnya, walaupun menteri menyatakan projek tersebut akan dilaksanakan secara kerjasama awam-swasta (PPP) melalui penyediaan dokumen Permintaan Cadangan (RFP), jawapan timbalan menteri di Dewan Rakyat minggu lalu pula membayangkan projek itu hanya akan diteruskan sekiranya kerajaan mempunyai dana jika tiada pihak swasta berminat.
“Tuan Pengerusi, inilah limbo atau kitaran jawapan yang terpaksa kami hadapi setiap kali persoalan LPT3 ini dibangkitkan. Sama ada penjelasan tentang proses birokrasi tidak berpenghujung atau keluhan kerajaan tak ada duit yang berlarutan sekian lama.
“Anggaran awal kos projek RM9.8 bilion terus melambung akibat inflasi tahunan sementara projek ini dilengahkan, tetapi pada masa yang sama kerajaan tidak pula begitu berkira untuk membiayai penuh kos RM16.8 bilion untuk projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang atau membiayai 60 peratus kos untuk projek penyuraian trafik Juru hingga Sungai Dua,” bidas beliau.

“Mengharapkan pihak swasta sanggup membiayai penuh projek kepentingan rakyat yang tidak mungkin menguntungkan mereka seperti LPT3 ini, sama sahaja seperti kerajaan membiarkan projek ini dead in the water.
“Perbezaan keutamaan untuk projek-projek kepentingan rakyat ini bukan saja akan melebarkan lagi jurang pembangunan antara negeri, malah menambahkan persepsi layanan double standard dan juga defisit kepercayaan rakyat terhadap dasar pembangunan kerajaan,” katanya sambil menuntut kerajaan membuktikan komitmen tulus dengan menetapkan garis masa tuntas bagi LPT3.