Berita :
Rumah Musnah Dalam Kebakaran, Kini Kembali Berteduh Menjelang Aidilfitri
Rumah Musnah Dalam Kebakaran, Kini Kembali Berteduh Menjelang Aidilfitri
Muhammad Amiruddin Zamri
16 jam yang lepas
154

DUNGUN, 18 Mac – Selepas hampir tujuh bulan berdepan detik sukar akibat kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka, sebuah keluarga di Bukit Besi kini kembali menarik nafas lega apabila menerima kunci rumah baharu yang siap dibina menjelang Aidilfitri.

Rumah tersebut diserahkan kepada mangsa kebakaran, Mad Nasir Abdullah, dalam satu majlis ringkas yang berlangsung semalam.

Sebelum ini, pada 21 Ogos 2025, kediaman Mad Nasir musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang menyebabkan beliau bersama isteri dan tiga orang anak kehilangan tempat berteduh dalam sekelip mata.

Namun hasil keprihatinan pelbagai pihak, khususnya melalui bantuan Tabung Darul Iman di bawah Kerajaan Negeri, sebuah rumah baharu berjaya dibina dan disiapkan dalam tempoh beberapa bulan, sekali gus memberi sinar baharu kepada keluarga tersebut menjelang sambutan Aidilfitri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata bantuan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat yang ditimpa musibah terus terbela.

Menurut beliau, usaha menyiapkan kediaman tersebut dalam tempoh yang singkat adalah hasil kerjasama pelbagai pihak yang tampil membantu.

“Semoga rumah ini menjadi tempat berteduh yang lebih baik, serta mengembalikan semangat dan harapan buat seluruh ahli keluarga,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan rumah berkenaan.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi JPKK Kampung Minda, Penghulu Mukim, pihak kontraktor serta kakitangan yang terlibat dalam menjayakan pembinaan rumah tersebut.

Sementara itu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan usaha pembinaan rumah berkenaan.

Menurut mereka, usaha tersebut mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan, khususnya mereka yang ditimpa musibah.



Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan