KUALA TERENGGANU, 23 September — Kejayaan pasukan robotik Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) meraih tiga pengiktirafan dalam Universal Robotics Challenge (URC) 2026 di Osaka, Jepun, membuktikan kemampuan pelajar Terengganu bersaing dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat antarabangsa.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kejayaan itu lebih membanggakan apabila pasukan berkenaan berjaya menduduki tempat ketiga bagi Kategori Python dalam pertandingan yang disertai 58 pasukan dari 13 negara.
Menurut beliau, empat lagi murid SAHUT turut menerima pengiktirafan menerusi Engineering Award dan Creativity Award.
“Lebih membanggakan, empat lagi murid turut menerima pengiktirafan melalui Engineering Award dan Creativity Award.
“Kejayaan bersaing bersama 58 pasukan dari 13 negara ini memperlihatkan kemampuan anak-anak Terengganu dalam bidang STEM dan mampu bersaing di pentas antarabangsa,” jelasnya dalam laman sosial rasmi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru pembimbing, para pelajar, ibu bapa, pihak sekolah serta semua pihak yang memberikan sokongan dan bimbingan sehingga kejayaan itu direalisasikan.
Ahmad Samsuri berkata, pencapaian berkenaan bukan sekadar kemenangan dalam pertandingan, malah pengalaman tersebut dapat membina keyakinan, ketahanan dan keberanian pelajar untuk menghadapi cabaran serta bersaing di peringkat antarabangsa.
“Lebih daripada sebuah kemenangan, pengalaman ini membina keyakinan, ketahanan dan keberanian anak-anak kita untuk menghadapi cabaran serta bersaing di peringkat antarabangsa.
“Tahniah SAHUT. Teruskan melangkah, membawa nama Terengganu dan Malaysia lebih jauh di persada dunia,” tambah beliau.