lightning-solid
Berita :
Terengganu Buka Pintu Pelabur Tulen Maju Rizab Penternakan
Terengganu Buka Pintu Pelabur Tulen Maju Rizab Penternakan
Hidayah Azlin
16 jam yang lepas
28


KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu mengamalkan dasar terbuka dan sentiasa mempermudahkan urusan mana-mana pihak yang berminat untuk melabur dalam sektor penternakan di negeri ini, berpandukan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024–2030.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, fokus utama kerajaan negeri adalah memastikan pelaburan yang masuk memberi manfaat nyata kepada rakyat serta menyokong visi menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan.

Menurut beliau, pemilihan syarikat bagi sesuatu projek pelaburan, seperti pembangunan ladang ternakan ayam, dinilai berdasarkan potensi memberi pulangan positif kepada masyarakat tempatan.

"Perkiraan kami ialah apa manfaat yang rakyat Terengganu akan dapat daripada projek tersebut, sama ada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi mahupun penyertaan rakyat dalam industri melalui skim outgrowers atau contract farming," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau.

Dr. Azman menjelaskan, pihak kerajaan negeri sentiasa mengadakan rundingan bersama pelbagai syarikat, sama ada dari dalam Terengganu, luar negeri mahupun pelabur antarabangsa. Walau bagaimanapun, maklumat perincian hanya akan diumumkan kepada umum selepas rundingan dimuktamadkan dan projek sedia untuk dimulakan.

Mengulas mengenai potensi kawasan penternakan, beliau memberitahu bahawa Terengganu mempunyai kira-kira 4,800 hektar tanah yang telah diwartakan sebagai rizab khas untuk aktiviti penternakan.

"Keluasan yang telah dimajukan setakat ini adalah sekitar 50 peratus dan masih terdapat baki separuh lagi untuk dimanfaatkan.

"Pintu kita sentiasa terbuka untuk tanah ini dibangunkan dengan apa jua aktiviti penternakan, cuma kita akan pastikan pelabur yang datang adalah pelabur tulen dan bukannya broker projek," tegas beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan