Jalur Gemilang
Berita :
UniSZA Tembus 1,000 Terbaik Dunia
UniSZA Tembus 1,000 Terbaik Dunia
Rohayati Ripin
19 jam yang lepas
89

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melonjak ke kelompok 801–1000 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings (WUR) 2027 berbanding kelompok 1001–1200 pada tahun sebelumnya.

Peningkatan itu menjadi pencapaian penting UniSZA apabila universiti berkenaan buat pertama kali berada dalam kelompok 1,000 terbaik dunia, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif dalam prestasi institusi di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr. Fadzli Adam, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai hasil usaha kolektif seluruh warga universiti serta petunjuk bahawa strategi pembangunan institusi sedang menunjukkan kemajuan yang positif.

“Alhamdulillah, tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga UniSZA. Peningkatan daripada kelompok 1001–1200 kepada 801–1000 dunia buat pertama kali merupakan satu pencapaian yang membanggakan," jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pencapaian itu turut disokong peningkatan skor dalam empat daripada lima teras utama penilaian THE, dengan aspek penyelidikan, pengajaran dan pengantarabangsaan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Beliau berkata, UniSZA akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan kualiti akademik dan pengajaran, penyelidikan berkualiti serta berimpak tinggi, pengantarabangsaan, jaringan strategik, hubungan industri dan sumbangan kepada masyarakat.

“Dengan pencapaian ini, UniSZA tidak boleh leka. Sebagai antara universiti awam termuda di Malaysia, kita sedar bahawa perjalanan UniSZA masih panjang. 

"Usia institusi walaubagaimanapun, bukan penghalang untuk kita membina kecemerlangan dan meningkatkan daya saing pada peringkat nasional serta antarabangsa. Kita optimis untuk terus menunjukkan kemajuan secara konsisten dan mampan," ujarnya.

Dalam penarafan sama, UniSZA turut mengekalkan kedudukan ke-10 daripada 19 Universiti Awam (UA) Malaysia yang menyertai THE WUR 2027.

THE WUR 2027 yang diumumkan pada 30 September 2026 melibatkan 2,297 universiti dari 118 negara dan wilayah.

Prof. Dato' Dr. Fadzli berkata penarafan antarabangsa berkenaan bukan matlamat akhir universiti.

Sebaliknya, ia merupakan salah satu instrumen untuk menilai kedudukan dan prestasi institusi secara objektif serta membandingkan pencapaian dengan universiti lain pada peringkat global.

Beliau menambah bahawa penarafan tersebut memberikan satu penanda aras untuk mengetahui di mana UniSZA berada, mengenal pasti kekuatan dan ruang yang perlu ditambah baik serta membina daya saing yang sihat.

Katanya lagi, persaingan dalam pendidikan tinggi seharusnya diterjemahkan kepada usaha meningkatkan kualiti ilmu, inovasi, penyelidikan dan impak kepada masyarakat, bukan semata-mata mengejar kedudukan. UniSZA akan terus bergerak ke hadapan dengan aspirasi ini.

"Pencapaian THE World University Rankings 2027 ini menjadi dorongan kepada UniSZA untuk memperkukuh lagi strategi institusi dan budaya peningkatan berterusan, selaras dengan aspirasi universiti untuk meningkatkan kecemerlangan, keterlihatan dan impaknya pada peringkat nasional serta global," tambah beliau.




Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan