• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Industri Pelancongan Islam Terengganu Berpotensi Ke Peringkat Global

KUALA TERENGGANU, 18 September – Terengganu berpotensi besar dalam mempromosikan pelancongan Islam ke peringkat global.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata Terengganu mempunyai produk pelancongan yang hebat dan unik bertaraf antarabangsa.

Katanya, serta pelbagai tawaran lokaliti berasaskan pelancongan dan industri berkaitan yang memberi lonjakan kepada industri pelancongan global.

“Segala-galanya ada di Terengganu termasuk alam semula jadi, gunung-ganang, sungai, keindahan tasik, panorama yang memukau di pulau-pulau serta pesisiran pantai yang menakjubkan.

“Lebih-lebih lagi, aktiviti teras, hiliran dan sokongan berkaitan industri pelancongan dalam kepelbagaian terutama pelancongan Islam.

“Justeru, negeri Terengganu dapat menawarkan permintaan dan penawaran yang lebih meluas,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri makan malam World Islamic Tourism Awards (WITA) 2023 bersekalikan dengan persidangan Asia Islamic Tourism Expo-Exhibition and Conference Haji, Umrah dan Pelancongan Islam (AITEX) malam Jumaat lalu.

“Saya sangat teruja kerana WITA dan AITEX berupaya mengangkat pelancongan Islam dan menyemarakkan ekonomi dan pemasaran industri pelancongan Islam tepat pada landasannya, selepas mendepani cabaran hebat sewaktu COVID-19 lalu.

“Persidangan dihadiri pakar-pakar professional, peneraju dan usahawan hebat dari seluruh dunia berkongsi pandangan, pendapat dan perkongsian berkaitan pelancongan Islam.

“Penyediaan pameran dengan keluasan 7,157 meter persegi dan dipenuhi dengan pemeran dari negara Timur Tengah dan Asia,” jelasnya.

Beliau berkata, sudah tentu pakej seperti umrah dan pelancongan Islamik menjadi tarikan utama, di samping ruang khas untuk perbincangan mahupun MoU disediakan bagi menjalankan jaringan perniagaan masing-masing.

Beliau turut memuji penganjur kerana menawarkan 55 anugerah mengikut kategori yang sudah tentu memberi pengiktirafan, penghargaan dan motivasi kepada mereka yang terpilih.

“Terima kasih jua kerana saya berpeluang menyampaikan anugerah kepada pemenang bersama-sama tokoh tersohor dan negarawan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut hadir bersama.

“Suasana santai begitu dirasai apatah lagi diselang-seli nyanyian dan irama Islamik, persembangan kombo dan pertunjukan fesyen Muslimah dan pakaian batik Malaysia,” ujarnya.