• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'Ini Bukan Bantuan Besar, Cuma Membantu Mereka Menampung Hidup'

KUALA TERENGGANU, 29 November - Timbalan Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyampaikan sumbangan tunai kepada para peniaga kecil di daerah Kuala Terengganu bagi meringankan beban yang ditanggung pasca pandemik Covid-19.

"Ini bukan bantuan yang besar sangat sebenarnya, kita faham peniaga baru sahaja bermula semula, masing masing ada kekurangan menampung sara hidup.

"Mereka ini usahawan kecil-kecilan dan barangkali penambahan daripada saya sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan kesusahan mereka, dengan cara itu mereka boleh fokus kepada perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Parlimen Kuala Terengganu kepada 42 usahawan kecil di daerah berkenaan, di Dewan Pusat Tarbiyyah DUN Wakaf Mempelam, di sini semalam.

Dalam program tersebut, Pegawai Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Engku Mohd Hairil Nizam Tuan Ahmad dijemput untuk memberi penerangan berkenaan peluang-peluang yang disediakan oleh pihak YPU kepada para usahawan.

Menurut Ahmad Amzad, Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu lebih fokus membantu pada aspek kehidupan harian.

"Usahawan dan rakyat adalah manusia yang perlu kepada rasa selesa jadi, saya harap ini dapat memberi kelegaan kepada mereka.

"Ada pun bantuan modal pusingan dan sebagainya yang itu kita sediakan melalui medium lain yang ada di bawah inisiatif kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. 

"Setakat ini di peringkat parlimen kita lebih kepada menjaga kebajikan, dari segi keusahawanan itu lebih kepada kerjasama misalnya bersama YPU," katanya.


Tag: