• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

Insentif Galakkan Bayar Zakat

KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sentiasa memperhebat usaha dakwah dalam menggalakkan orang Islam membayar zakat antaranya menyediakan pelbagai insentif. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan institusi yang bertanggungjawab dalam urusan zakat itu menyediakan kemudahan-kemudahan serta insentif yang menarik. 

"Antaranya pemberian wakalah kepada pembayar zakat individu, perniagaan dan majikan untuk pengagihan sendiri kepada asnaf yang dikenal pasti, cabutan bertuah kepada pembayar potongan zakat bulanan dan Skim Khairat Kematian (Skim Al-Hanan) kepada waris pembayar zakat yang telah meninggal dunia, " ujarnya. 

Dr. Khalil berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Shaifizi Ismail dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ke-15, di sini semalam. 
 
Menurut Khalil, MAIDAM turut mempergiatkan aktiviti dakwah secara bersemuka serta melalui hebahan cetakan dan media sosial. 

"Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti taklimat, lawatan premis-premis perniagaan serta mengadakan perjumpaan secara individu dengan peniaga atau usahawan selain melalui teks khutbah. 

"Bagi zakat galian pula, MAIDAM ada melaksanakan zakat galian yang mana setakat ini menerima bayaran melibatkan pembayar individu dan dalam skala kecil sahaja. 

"Berkait isu zakat petroleum, zakat galian keatas minyak tidak dikenakan zakat kerana ianya merupakan hasil kerajaan, " jelasnya lagi.


Tag: