• 14 Okt 2024 | 11 Rabiul Akhir 1446

'Insya-Allah Masalah Sampah Tidak Berulang Waktu Perayaan'

KUALA TERENGGANU, 11 April - Kerajaan negeri kini bersiap bersedia menguruskan penambahan sampah sarap sempena sambutan Hari Raya Aidifitri tidak lama lagi dan memberi jaminan masalah longgokan sampah tidak berlaku.

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya menjangkakan jumlah janaan sampah menjelang perayaan Aidilfitri tahun ini meningkat sehingga tiga kali ganda daripada hari biasa susulan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing.

"Kita sudah melakukan perancangan dan persiapan rapi malah saya sudah sebut dalam mesyuarat supaya exco terlibat (Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak) mengambil langkah menghadapi potensi peningkatan sampah seperti tahun-tahun lalu.

"Datuk Dr Alias maklumkan beberapa tindakan sudah dirangka dan akan dibuat bagi mengatasi masalah ini, kita harap tahun ini lebih berjaya dalam mengawal sampah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC ( Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Dan Lanskap) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak bercadang untyk menggunakan khidmat luar seperti tahun lalu kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memberi jaminan bahawa mereka mampu menguruskan sendiri sampah sarap tersebut.

"Kita jangka sekurang-kurangnya tiga kali ganda peningkatan (sampah) dan ia memerlukan kerjasama semua pihak sama ada pengguna atau PBT. Harap semua berdisiplin masukkan sampah ke dalam tong dan tidak baling merata-rata," katanya.

Sementara itu Dr Alias ketika ditemui berkata, hanya tiga zon iaitu dua di Kuala Terengganu dan satu di Marang yang berdepan dengan masalah pengurusan sampah berikutan kontraktor dilantik tidak kompeten dalam melaksanakan tanggungjawab.

Jelas beliau, kontraktor terlibat sudah ditamatkan kontrak dan pengurusan sampah di tiga zon berkenaan kini diambil alih semula oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Daerah Marang (MDM).

"MBKT dan MDM beri komitmen dan sentiasa bersedia dengan situasi ini, jadual bertugas telah digandakan, fasiliti tong sampah ditambah termasuk jentera.

"Oleh itu kita harap pengurusan sampah pada Aidifitri kali ini dapat diuruskan dengan baik agar tiada lagi aduan dari masyarakat," katanya.