• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

International Golden Monsoon Ride Janji Cabaran Menarik Tahun Depan

KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Menutup tirai 2021, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) menjanjikan pengalaman aktiviti berbasikal 'off-road' lebih baik dengan penganjuran International Golden Monsoon Ride, tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, berikutan kejayaan penganjuran Golden Monsoon Ride 2021 baru-baru ini, pihaknya berhasrat mengangkat kejohanan berkenaan ke peringkat antarabangsa pada tahun 2022.

"Saya rasa berjaya dan kita dapat lihat penyertaan yang banyak daripada pelbagai pihak dalam dan luar terengganu. Terdapat sekitar 800 peserta daripada anak-anak syarikat, individu persendirian dan kelab-kelab berbasikal di Terengganu serta luar.

"Kita nampak sebenarnya kategori cabaran MTB (Mountain Bike) ini kita boleh bawa ke peringkat antarabangsa, sebab saya diberitahu Terengganu Cycling Team (TSG) sendiri trek itu amat menarik dan mencabar, sesuai untuk kita tingkatkan ataupun ketengahkan di peringkat antarabangsa.

"Jadi kita akan tengok bagaimana. Untuk akan datang, kita akan namakan International Golden Monsoon Ride dengan hadiah yang amat menarik dan kita akan tingkatkkan lagi lebih banyak kategori pada tahun-tahun akan datang," katanya pada kejohanan yang berlangsung di Setiu, baru-baru ini.

Terdahulu, Golden Monsoon Ride 2021 mengangkat kategori off-road sejauh 25 kilometer sebagai perlumbaan utama dengan cabaran pendakian lima bukit dalam cuaca hujan bertempat di Akademi TDM Sungai Tong.

Kejohanan tersebut menawarkan hadiah berupa tunai RM1,500 bagi pemenang yang dimenangi oleh pelumba TSS, Shahrul Mat Amin.

Selain itu, Golden Monsoon Ride turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal Honda ADV 150 berharga lebih RM10,000.