• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Ismail Sabri Dilantik Sebagai Perdana Menteri Ke-9

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.

"Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9," katanya melalui  kenyataan rasmi di media sosial Istana Negara, hari ini.

Tambah beliau, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri pada esok (21 Ogos 2021), jam 2.30 petang, di lstana Negara.

Kenyataan itu dikeluarkan pasca Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2.30 petang tadi.

Dalam perbincangan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu.

Istana Negara juga telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021 lalu.