• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jadikan Masjid Dan Surau Tempat 'Lepak' Anak Muda

Mohd Fazil menyampaikan hamper kepada jemaah bertuah.
Oleh: Hailmey Mansor

KUALA NERUS, 3 Julai - Surau dan masjid di dalam negeri Terengganu perlu lebih kreatif untuk menarik minat anak muda mendampingi institusi tersebut.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab mengingatkan, ahli jawatankuasa (AJK) surau dan masjid perlu mewujudkan suasana mesra yang mampu menjadikan masjid dan surau tempat ‘lepak’ golongan muda.

"Kita perlu sediakan pelbagai bahan atau aktiviti menarik sebagai tanda keramahan kita kepada golongan ini untuk mendekati masjid dan surau.

Masjid dan surau perlu jalin kemesraan bersama anak muda - Mohd Fazil.
"Antara contohnya ialah dengan mengadakan pelbagai bentuk pertandingan seperti memancing, futsal, bola jaring dan sebagainya,” katanya ketika memberikan ucapan sempena rumah terbuka Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Ketapang di Surau An-Nur, semalam.

Turut hadir, Penghulu Mukim Seberang Takir, Khairi Ghazali dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Seberang Takir, Muda Abdullah.

Mohd Fazil juga mencadangkan kepelbagaian aktiviti untuk menjentik kemesraan kepada anak-anak muda.

Majlis rumah terbuka berkenaan dianjurkan MPKK untuk mengeratkan hubungan antara ahli 'qaryah' selain meraikan Syawal yang berbaki.



.


Tag: